SHAKIR (dua dari kiri) diasak pemain
pertahanan Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.
Harimau Malaya menang 2-0.
BADI yang sering membelenggu skuad bola sepak kebangsaan
setiap kali berdepan Singapura akhirnya ternoktah apabila menang 2-0 dalam aksi
persahabatan kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.
Percaturan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal
menyenaraikan Ahmad Shakir Md. Ali dalam kesebelasan utama negara berbanding
peledak berbisa, Mohd. Safee Sali malam tadi ternyata menjadi apabila penyerang
Negeri Sembilan itu menjaringkan gol pembukaan negara seawal minit ke-18.
Pasukan pelawat yang kembali mengatur gerakan begitupun
kecewa apabila rembatan deras Aleksandar Duric berjaya ditepis penjaga gol
negara, Khairul Fahmi Che Mat tiga minit kemudian.
Sorakan lebih 25,000 penyokong tuan rumah kembali bergema
sebaik rembatan deras Azamuddin Akil menerjah jaring pada minit ke-30, namun ia
dibatalkan pengadil dari Thailand, Tee Ti Chai gara- gara ofsaid.
Harimau Malaya yang semakin garang sebaik babak kedua
bersambung akhirnya berjaya menggandakan jaringan apabila sepakan percuma
kapten, Safiq Rahim terus melepasi jangkauan penjaga gol Singapura, Mohamed
Hyrulnizam Jumaat pada minit ke-62.
Malah, skuad kendalian Radojko Avramovic juga dilihat semakin
tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mustafic Fahrudin
dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Norshahrul Idlan Talaha.
Pemain gantian, Shahurain Abu Samah nyaris menambah derita
pasukan pelawat, namun jaringannya pada minit ke-70 dibatalkan kerana bola
terlebih dahulu dikesan terkena tangan sebelum dia dilayang kan kad kuning oleh
Ti Chai.
Keputusan 2-0 kekal sehingga perlawanan tamat.
Kedua-dua pasukan sebelum ini sekadar seri 2-2 dalam aksi
persahabatan pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Jumaat lepas.
Untuk rekod, kali terakhir skuad negara menewaskan pasukan
jiran itu ialah pada 12 Julai 2004 di Stadium Cheras, Kuala Lumpur apabila
Malaysia yang ketika itu dikendalikan Alan Harris turut menang 2-0.
Malah, Harimau Malaya juga ditunjukkan jalan keluar oleh
Singapura apabila tewas menerusi agregat 4-6 pada pusingan kedua kelayakan
Piala Dunia 2014, Julai tahun lepas.
No comments:
Post a Comment