expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday, 14 June 2012

Bayi enam minggu ditemui dalam bot pelarian Rohingya




















SEKUMPULAN etnik Rohingya Islam duduk di dalam sebuah bot selepas mereka dipintas tentera pihak berkuasa Bangladesh semasa melintasi Sungai Naf di sempadan Bangladesh semalam.


PULAU SHAHPURI, Bangladesh - Seorang bayi perempuan yang dibawa melintasi sebatang sungai di sempadan pada waktu malam bagi melarikan diri daripada keganasan di Myanmar ditemui bersendirian di dalam sebuah bot semalam.


Bayi berkenaan ditemui oleh beberapa pengawal keselamatan Bangladesh yang mengusir beratus-ratus pelarian Islam etnik Rohingya dari Myanmar.


Anak kecil berusia enam bulan itu kemudian diserahkan kepada sebuah keluarga Bangladesh.


Keluarga berkenaan memberitahu, bayi itu kurang sihat tetapi mereka akan berusaha menjaganya.


"Pasukan peronda sungai kami memintas sebuah bot pada pukul 2 pagi (waktu Bangladesh)," kata Mejar Shafiqur Rahman.


Beliau mengetuai operasi untuk menghantar pulang pelarian Rohingya yang cuba memasuki Bangladesh melalui bot di Sungai Naf bagi melarikan diri daripada keganasan agama di Myanmar.


"Mereka menggeledah bot berkenaan dan menemui seorang bayi perempuan Rohingya berusia dalam lingkungan satu setengah bulan," kata Rahman kepada agensi berita AFP dalam satu wawancara telefon.


"Bot berkenaan kosong. Ini satu keajaiban tetapi bayi tersebut kelihatan pucat," tambahnya.


Sejak kelmarin, pasukan peronda sungai Bangladesh telah mengusir 16 buah bot yang membawa lebih 660 pelarian Rohingya dengan kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.


Sementara itu, beberapa pegawai Myanmar memberitahu, keganasan yang melanda negeri Rakhine di barat Myanmar telah meragut nyawa sekitar 25 orang setakat ini.


Kekacauan di Myanmar tercetus selepas sekumpulan penduduk beragama Buddha memukul sehingga mati 10 orang etnik Rohingya yang beragama Islam pada 3 Jun lepas kerana tersilap menyangka mereka membunuh dan merogol seorang gadis tempatan pada bulan lalu.


Tindakan tersebut mencetuskan serangan balas etnik Myanmar dengan banyak kediaman penduduk beragama Buddha dibakar sehingga memaksa campur tangan tentera. - AFP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com