SUASANA sedih menyelubungi Rumah Pengebumian di Hangzhou,
China. Penduduk tempatan tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur
menangis teresak-esak meratapi kematian Wu Bin yang berusia 48 tahun.
Kesedihan semakin dirasai apabila persekitaran dewan dipenuhi
jambangan bunga, kain rentang dan kepingan kad ucapan yang tertera luahan
ringkas seperti, 'Anda pemandu hebat' dan 'Anda akan kekal di hati saya'.
Pemergian Bin, pada Jumaat lalu benar-benar membawa seribu
satu kepahitan dan kisah pilu di hati warga China. Selepas koma dan terlantar
di hospital selama tiga hari, pemuda kelahiran Hangzhou, Zhejiang itu
menghembuskan nafas terakhirnya. Salah seorang doktor mengesahkan bahawa Bin
mengalami kecederaan serius di hati sementara tiga tulang rusuknya patah.
Kecederaan yang dialami Bin disebabkan dadanya tertusuk
serpihan logam tajam yang menembusi cermin depan bas yang dipandunya pada 29
Mei lalu. Pada masa itu, Bin, bapa kepada seorang cahaya mata sedang memandu
bas antara bandar Wuxi dan Hangzhou di lebuh raya Wuxi, wilayah Jiangsu.
Meskipun cedera parah di dada kanan, Bin masih mampu mengawal
kelajuan bas agar tidak tersasar. Bagi memastikan keselamatan 24 orang
penumpang di dalam bas, Bin menekan brek, menukar gear dan menenangkan
penumpang.
Selepas beralih ke tempat pemandu, Bin meminta penumpang
menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
"Pada mulanya saya tidak sedar apa yang berlaku kerana
Bin tidak menjerit. Saya fikir, bunyi bising tersebut mungkin melibatkan
pelanggaran kenderaan lain.
"Sebaik saja dia ke belakang dan duduk di tempat
penumpang, barulah saya sedar bahawa Bin mengerang kesakitan sambil memegang
dada. Dalam beberapa minit kemudian dia pengsan," terang Han Weichun,
seorang penumpang yang duduk betul-betul di belakang Bin.
Pemandu yang cermat
Hasil siasatan pihak polis mendapati, serpihan logam seberat
3.5 kilogram melayang dari sebuah kereta yang bertentangan lalu menusuk ke dada
Bin.
Justeru, tindakan Bin yang mengutamakan para penumpangnya dan
mengabaikan kesakitan yang dialaminya telah mendorong orang ramai menjulangnya
sebagai wira.
Menurut rakan sekerja Bin, Chen Yibo, sejak berkhidmat
sembilan tahun lalu, rekod kerja Bin sentiasa cemerlang. Dia sudah memandu
sejauh sejuta kilometer (km) tanpa terlibat dalam sebarang kemalangan.
ORANG ramai membanjiri Rumah
Pengebumian Hangzhou untuk memberi penghormatan terakhir kepada Bin.
"Dia juga tidak pernah disaman kerana selalu memandu
mengikut kelajuan dan peraturan jalan raya yang ditetapkan. Para penumpang
cukup berpuas hati dengan cara pemanduan dan servis Wu Bin," katanya yang
sedih dengan kehilangan rakan sekerja yang dedikasi.
Di sebalik tragedi itu, Bin dijulang sebagai wira oleh
penduduk di tempat kelahirannya, Hangzhou yang terletak di China timur. Mereka
berkali-kali mengungkapkan bahawa Bin merupakan individu dan pekerja terbaik
yang perlu dicontohi.
Sewaktu berlangsungnya upacara pengebumian Bin di Rumah
Pengebumian Hangzhou, penduduk tempatan bertali arus semata-mata untuk
memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Sehinggakan, pihak polis terpaksa
mengawal lalu lintas.
Esakan dan tangisan pula memenuhi dewan. Ternyata, kehilangan
pemuda yang disifatkan murah dengan senyuman itu cukup berkesan di hati
keluarga, jiran, sahabat handai dan penduduk tempatan.
Upacara pengebumian Bin turut dihadiri selebriti, golongan
kenamaan dan para pemimpin negeri seperti Timbalan Menteri Pengangkutan, Feng
Zhenglin, Timbalan Gabenor Wilayah Zhejiang, Wang Jianman dan Datuk Bandar
Hangzhou, Zhang Jianting.
Pekerja contoh
Kerajaan wilayah Zhejiang menyifatkan Bin mati secara
terhormat kerana tidak mementingkan diri sendiri manakala Kementerian
Pengangkutan mengangkatnya sebagai pekerja contoh.
"Saya selalu menaiki bas yang dipandu Bin dari Wuxi dan
Hangzhou. Dia seorang pemandu yang baik dan berhati-hati. Jadi, bukanlah
sesuatu yang mengejutkan apabila Bin berusaha menyelamatkan nyawa penumpang
meskipun dia sedang bergelut dengan kecederaan serius," luah Wu Yao yang
juga jiran dengan Bin selama tiga dekad.
Dalam pada itu sahabat baik Bin, Feng Li menyatakan:
"Tindakan Bin jelas menunjukkan dia seorang pemandu dan pekerja yang
berwibawa. Barangkali, keperibadian Bin yang penyayang, mudah mesra dan
mengambil berat tentang orang sekeliling mendorongnya bertindak seperti
itu."
Sebagai memperingati jasa baik Bin, para pemimpin negara
China termasuk ketua parti wilayah Zhao Hongzhu, telah menghulurkan sumbangan
wang tunai sebanyak 500,000 yuan (RM249,500) kepada keluarga Bin. Sementara
itu, majikan syarikat Bin berkhidmat pula menghadiahkan sebuah pangsapuri yang
terletak di pusat bandar.
Tolak sumbangan
Lebih menyentuh perasaan apabila orang ramai dan pelbagai
pihak turut menderma wang tunai meskipun menyedari hadiah tersebut tidak
ternilai dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Bin. Namun begitu, keluarga Bin
menolak secara baik segala bentuk sumbangan dalam bentuk wang tunai mahupun
barangan.
Mereka cuma mengharapkan agar masyarakat terus mendoakan
kesejahteraan dan kebahagiaan mereka sekeluarga dalam menempuhi kehidupan tanpa
Bin. Sebelum ini, Bin yang menetap bersama kedua-dua ibu bapanya, meninggalkan
seorang balu dan seorang anak.
Dalam surat terbuka luahan hati keluarga Bin, mereka
bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang tidak henti-henti menunjukkan
kasih sayang serta bersimpati atas pemergian Wu.
GAMBARAN klip video CCTV yang
menunjukkan detik Wu BIn sewaktu tertusuk serpihan logam yang menembusi cermin
depan bas.
"Kami tidak memerlukan sebarang bentuk bantuan daripada
orang perseorangan kerana kami akan berusaha sendiri dan bekerja keras untuk
kehidupan. Bagi kami, bantuan yang diterima daripada pihak kerajaan dan majikan
Bin sudah memadai," tutur kakak Bin, Wu Bingxin. Bingxin turut menyatakan
mereka sekeluarga sudah biasa hidup secara sederhana.
Dalam pada itu, isteri Bin, Wang Lizhen, memberitahu, pagi
Selasa minggu lalu merupakan detik akhir dia bertemu mendiang suaminya. Bin
mengucapkan selamat tinggal kepadanya sebelum keluar bekerja.
"Saya dapat merasakan dia belum bersedia untuk 'pergi'
meninggalkan kami. Ketika Bin berada dalam keadaan tidak sedar, saya mengusap
dahinya dan tangannya bergerak memberi reaksi.
"Bin seolah-olah mahu meluahkan sesuatu kepada saya. Dia
bagaikan berjuang untuk terus hidup. Namun apakan daya, tuhan lebih menyayanginya,"
jelas Lizhen dalam nada getar menahan sebak kerana kehilangan suami yang
dikahwininya sejak 18 tahun lalu.
Tindakan Bin menyelamatkan 24 penumpang di dalam bas meskipun
sedang bertarung dengan kesakitan akibat tusukan besi tajam, harus dicontohi
oleh kumpulan pemandu pengangkutan awam di seluruh dunia.
"Sejak beberapa hari lalu, saya sentiasa menangis kerana
sebak dengan keprihatinan Bin terhadap para penumpangnya. Semoga semangat Bin
menjadi ikutan setiap lapisan masyarakat," tutur Shen Wei, guru sekolah
menengah yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Bin bersama
empat orang pelajarnya.
No comments:
Post a Comment