expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 17 June 2012

Diabetes ibu penyakit






DIABETES atau kencing manis ialah penyakit kronik akibat kandungan gula di dalam darah melebihi tahap normal. Ada yang menganggap ia ibu segala penyakit kerana dalam jangka panjang, ia boleh menyebabkan kerosakan lain pada tubuh seperti mata, jantung, saluran darah, hati, buah pinggang, kulit dan kaki serta saraf tidak sensitif.




 
Antara tanda dan gejala diabetes ialah penghidapnya sentiasa haus, kerap kencing, gangguan penglihatan, lesu dan mengalami penurunan berat badan. 


Perunding Pakar Perubatan dan Endokrin Pusat Perubatan Tropicana, Dr Vijay Ananda Paramasvaran, berkata diabetes boleh menyebabkan aliran pembuluh darah menjadi kurang baik disebabkan kerosakan organ dalam mata daripada retina yang disebut retinopati diabetik, perlahan-lahan menyebabkan buta hingga kerosakan pada kanta seperti katarak. 


Menurutnya, apabila diabetes, perubahan metabolisma sel lapisan dalam pembuluh darah juga boleh menyebabkan aliran darah kurang baik. Akibatnya, organ yang harus dialiri darah kekurangan nutrisi dan oksigen. Keadaan itu biasanya menyebabkan serangan jantung koroner, strok serta luka yang sukar sembuh. 


Masalah lain yang kerap dialami penghidap diabetes ialah gastropati diabetik iaitu gejala perut kembung dan cepat kenyang. Pesakit kelihatan kurus kerana tubuh memerlukan lebih banyak insulin kerana insulin yang ada dalam tubuh hanya digunakan separuh akibat ketidakcekapan reseptor atau resitensi insulin. 


Diabetes turut menyebabkan kebocoran protein di buah pinggang berpunca daripada kegagalan organ berkenaan yang menyebabkan pesakit perlu menjalani dialisis. Komplikasi lain yang mungkin dihadapi pesakit ialah kaki diabetik. Komplikasi ini terjadi akibat kerosakan saraf. Pesakit tidak dapat membezakan suhu panas dan dingin dan rasa sakit berkurangan. Diabetes dibahagi kepada dua iaitu tahap satu dan tahap dua. 









Diabetes tahap satu

 
Dikenali juga diabetes bersandar insulin (Insulin Dependent Diabetes Mellitus) atau diabetes awal remaja. Diabetes jenis satu adalah akibat kegagalan kelenjar pankreas menghasilkan insulin. 


Biasanya, penghidap mula mendapat simptom penyakit ketika kanak-kanak atau remaja. Disebabkan kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin untuk mengawal tahap glukos darah. Tidak ramai menghidap diabetes jenis ini.


 





Diabetes tahap dua


Disebabkan kerintangan insulin (tisu badan kian kurang sensitif terhadap insulin) atau penghasilan insulin yang berkurangan. Disebabkan masih mempunyai sedikit insulin daripada pankreas, diabetes jenis ini boleh dikawal secara pemantauan pengambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam dan pengambilan ubat. Diabetes jenis ini biasa berlaku kepada mereka yang berusia dan mempunyai berat badan berlebihan. Pesakit perlu makan ubat dan akhirnya, ramai juga yang memerlukan suntikan insulin. 








Antara faktor risiko bagi diabetes tahap dua:

 
1. Faktor usia. Lebih lanjut usia seseorang, lebih tinggi risiko mendapat diabetes. 

2. Faktor keturunan - mempunyai ahli keluarga mengalami diabetes, termasuk dalam golongan populasi yang mempunyai risiko tinggi mendapat diabetes. 

3. Faktor lain - mempunyai sejarah paras glukos darah yang lebih tinggi daripada biasa, pesakit jantung serta wanita yang melahirkan anak pada usia lanjut dengan berat bayi lebih empat kilogram. 


Kes diabetes tahap dua menunjukkan peningkatan mendadak, banyak berlaku di kalangan mereka yang berusia. Ia seiring dengan trend membimbangkan peningkatan jumlah mereka yang obes serta peningkatan jumlah pesakit muda. 


Amalan gaya hidup sihat dan mengelak obes, atau memastikan indeks jisim tubuh pada tahap normal, boleh menghindar diabetes. Sebaliknya, berperut besar atau buncit menambahkan lagi risiko mendapat diabetes. 



Komplikasi akibat diabetes: 

Sindrom metabolik (kumpulan daripada pelbagai faktor risiko) 

  •   obesiti berpusat iaitu ukur lilit perut wanita 80 sentimeter (sm) manakala lelaki 90 sm. 
 
  •   hiperinsulinemia (tahap insulin yang beredar di dalam darah daripada yang dijangkakan berbanding tahap glukosa yang berlebihan). 
 
  •   ujian tahap plasma gula ketika puasa menunjukkan paras glukos darah lebih tinggi daripada biasa. 
 
  •   hipertrigliseridemia (lebihan trigliserida dalam darah iaitu bahan lemak dalam darah). 
 
  •   lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) rendah. 
 
  •   tekanan darah tinggi.


Penyakit makrovaskular (kerosakan pada saluran darah besar) 


  •   penyakit koronari jantung. 
 
  •   penyakit serebrovaskular (gangguan pada pembuluh darah otak). 
 
  •   penyakit vaskular periferal (halangan arteri yang besar tidak hanya dalam koronari, juga aortik gerbang vaskulatur atau otak.


Penyakit jantung koronari

Faktor risiko 

  •   umur
  •   jantina
  •   sejarah kesihatan keluarga.
  •   kolestrol
  •   tekanan darah
  •   tabiat merokok


Penyakit jantung koronari dalam diabetes.

 

berlaku lebih awal dan semakin biasa. 



perbezaan etnik. 



Orang putih: lebih kerap mengalami serangan jantung. 



Cina/Jepun: lebih banyak mengidap strok. 



risiko meningkat di kalangan wanita. 



serangan jantung biasanya tanpa rasa sakit.


Penyakit serebrovaskular dalam diabetes 



strok berlaku dua kali ganda dalam diabetes dan tekanan darah tinggi berbanding mereka yang menghidap darah tinggi saja. 



serangan strok ringan berlaku dua hingga enam kali lebih kerap.

Vaskular periferal (penyempitan pembuluh yang menyekat aliran darah) 

  •   aliran darah berkurangan akibat penyakit makrovaskular.


Penyakit mikrovaskular (kerosakan pada salur darah kecil) 

  •   retinopati diabetes - gejala kerosakan pada retina mata berlaku dengan diabetes jangka panjang. Selalunya tiada simptom sehingga kerosakan mata makin teruk. 
 
  •   nefropati diabetes - penyakit buah pinggang atau kerosakan yang berlaku pada mereka yang menghidap diabetes Simptom: Selalunya, terdapat tidak menunjukkan sebarang gejala sebagai bermula kerosakan buah pinggang dan perlahan-lahan semakin teruk. 
 
  •   neuropati diabetes - kerosakan pada saraf di dalam badan kerana tekanan darah tinggi. Kecederaan saraf disebabkan pengurangan aliran darah dan tahap gula dalam darah tinggi.


Nefropati diabetes (kerosakan buah pinggang) - kira-kira 20 hingga 30 peratus mengalami diabetes ini.

Neuropati (kerosakan saraf)

Simptom: 

  •   rasa terbakar.
  •   rasa dicucuk dengan pin atau jarum.
  •   sakit.
  •   tiada gejala.

Amputasi (pemotongan) akibat diabetes :

Penyakit vaskular atau neuropati - trauma - ulser - kegagalan menyembuhkan - jangkitan - potong.


Petua mencegah atau melengahkan komplikasi diabetes

  •   kawal kadar gula darah ke paras normal.
  •   diet dan ambil makanan sihat.
  •   elakkan makanan yang tinggi lemak dan gula.
  •   kawal berat badan.
  •   kawal kadar kolesterol.
  •   kawal tekanan darah.
  •   lakukan senaman.
  •   berhenti merokok.



No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com