WAJAH pemuda misteri yang mendakwa
namanya Ray di laman web polis Berlin pada 5 September tahun lalu.
BERLIN - Identiti seorang pemuda misteri yang muncul di
Berlin pada tahun lalu dengan mendakwa namanya sebagai Ray dan tinggal di hutan
Jerman selama beberapa tahun akhirnya terbongkar.
Pemuda itu mencetuskan misteri pada tahun lalu apabila dia
mendakwa keluar dari hutan di Jerman yang menjadi tempat tinggalnya selama
beberapa tahun.
Ketika itu, pemuda tersebut menyatakan bapanya telah
meninggal dunia dalam hutan.
Namun, polis semalam menyatakan seorang bekas kekasih pemuda
tersebut mengenal pasti identitinya sebagai lelaki berusia 20 tahun dari
Belanda.
Identiti itu disahkan selepas polis mengedarkan gambar pemuda
tersebut untuk mendapatkan maklumat tentang dirinya pada awal minggu ini.
Polis menyatakan pemuda tersebut akhirnya mengaku maklumat
yang diberikan oleh bekas kekasihnya itu adalah benar.
Sebelum ini, beberapa orang yang tinggal di bandar Hengelo,
Belanda mengenal pasti pemuda tersebut selepas mereka melihat gambarnya yang
disiarkan polis Berlin.
Ibu tiri pemuda tersebut dapat mengenalinya selepas melihat
gambarnya.
Seorang jurucakap polis di Hengelo, Chantal Westerhoff turut
mengenal pasti identiti pemuda tersebut yang kini berusia 20 tahun.
Menurut Westerhoff, pemuda tersebut meninggalkan rumahnya
pada September 2011 tanpa memaklumkan kepada bapa atau ibu tirinya yang
menyebabkan pasangan tersebut membuat aduan polis berhubung kehilangan anak mereka
itu.
Stesen penyiaran NOS Belanda yang mewawancara beberapa
rakan pemuda tersebut mendedahkan nama sebenarnya ialah Robin van Helsum.
Dalam kisah yang menarik perhatian dunia itu, pemuda tersebut
muncul di bangunan Dewan Bandar Raya Berlin di sini pada 5 September 2011 dan
menyatakan bahawa nama pertamanya ialah Ray kepada beberapa orang.
Menurutnya, dia tinggal di hutan bersama bapanya selama lima
tahun.
Bertutur dalam Bahasa Inggeris yang diselang seli dengan
beberapa perkataan Jerman, pemuda itu memberitahu bahawa bapanya telah mati
pada Ogos tahun lalu.
Menurutnya, selepas menanam mayat bapanya di hutan, dia
berjalan ke arah utara selama lima hari sebelum tiba di Berlin.
Namun, polis yang tidak menemui mayat bapa budak lelaki
tersebut.
Pemuda tersebut tinggal di sebuah institusi kebajikan selepas
dia muncul di bangunan dewan itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment