expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 19 June 2012

Iktibar daripada kaum Saba




DALAM kisah Nabi Sulaiman a.s., diceritakan bahawa baginda mengajak seorang ratu (pemerintah) dari sebuah negeri untuk mengikuti agamanya, iaitu hanya menyembah Allah SWT dan bukan yang lain (rujuk al-Naml: 10-44).


Negeri itu adalah Saba dan ratunya bernama Balqis. Kisah tentang negeri Saba dan penduduknya terdapat di dalam al-Quran, iaitu surah Saba ayat 15-21. Surah Saba diturunkan di Mekah, mengandungi 54 ayat. 


Dinamakan surah Saba (perihal penduduk Saba), kerana kisah mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 15 hingga 21. 


Pada awal surah ini, Allah menegaskan bahawa segala puji bagi-Nya kerana Dialah yang menciptakan dan menguasai seluruh alam, dan Dialah yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada sekalian makhluk-Nya di alam kehidupan ini, dan yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada orang-orang beriman pada hari akhirat.


Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW dan yang tidak percayakan kedatangan hari kiamat dan setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan yang telah diberikan kepada nabi-nabi yang telah lalu, maka Allah SWT memberi amaran kepada golongan musyrik itu, sekiranya mereka masih berdegil dengan kekufuran, maka mereka akan dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba yang telah dibinasakan kerana mereka kufur ingkar.


Kemudian Allah SWT menujukan firman-Nya kepada Nabi Muhammad SAW dan menerangkan bahawa baginda adalah diutus kepada umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar.


Sebagai penutup, digambarkan keadaan orang-orang yang bersalah pada hari kiamat. Mereka kelihatan cemas takut dan gerun gementar apabila menyaksikan azab seksa yang disediakan untuk mereka. 


Semasa mereka diseret untuk menerima balasan, mereka berkata: "Sekarang kami beriman…" tetapi pengakuan mereka yang demikian tidak ada gunanya kerana tempat beriman ialah di dunia, sedang mereka telah terpisah dari dunia dan tidak mungkin kembali lagi.


Dalam surah tersebut dijelaskan bahawa negeri Saba dikurniai Allah SWT dengan kemewahan, tanah yang subur sehingga penduduknya hidup dengan aman makmur. 


Allah SWT berfirman yang bermaksud: "… (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun. (Saba: 15).


Namun, kerana ingkar kepada Allah SWT, penduduk Saba ditimpa azab berupa banjir besar yang menghancurkan negeri mereka. Kisah pengingkaran kaum Saba dan turunnya azab Allah SWT ini terjadi setelah Ratu Balqis mengikuti agama Nabi Sulaiman a.s.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com