expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 16 June 2012

Inovasi penyerap minyak

Kejadian tumpahan minyak mengancam keselamatan alam sekitar. - Gambar Hiasan



Ramai yang mengetahui pisang adalah buah yang tidak asing bagi kebanyakan penduduk di Asia. Tetapi tidak ramai yang tahu kegunaan sisa daripada batang pisang mempunyai satu lagi kegunaan iaitu boleh dijadikan penyerap minyak.


Walaupun, sejak turun-temurun lagi, pisang digunakan nenek moyang dalam kehidupan seharian yang mempunyai pelbagai kegunaan meliputi akar, batang, daun, buah mahupun jantung pisang.




 
Pada masa kini, kegunaan pokok pisang adalah lebih meluas lagi sehingga mampu mendatangkan pulangan yang lumayan. Perkara itu diketahui hasil penyelidikan inovatif Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Hanafi Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral bersama Profesor Dr Noor Aziah Abdul Aziz (Pusat Pengajian Teknologi Industri) dan Prosefor Dr Fauziah Ahmad (Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam).


Dr Hanafi berkata, inovasi daripada gabungan sisa pokok pisang dan sisa buangan getah mencipta sejenis bahan bio penyerap minyak untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar akibat tumpahan minyak di permukaan air atau  darat. Menurutnya, bahan bio penyerap itu dihasilkan daripada sisa pokok pisang termasuk daun dan pelepah yang reput. Manakala, sisa buangan getah terdiri daripada tayar, tiub motosikal, sarung tangan getah, paip getah, kasut  getah dan getah sekerap yang dikatakan tidak akan terurai atau susah untuk dilupuskan.




 
“Produk penyelidikan ini dinamakan sebagai BananaSorp sesuai digunakan pengusaha kapal yang sering meninggalkan kesan minyak di permukaan air laut yang dibimbangkan boleh memusnahkan hidupan laut.


“Disebabkan penggunaannya tidak membabitkan perbelanjaan besar. Ini kerana kos menghasilkan bahan itu murah, iaitu hanya menggunakan bahan semula jadi,” katanya, ketika ditemui Sinar Harian, di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, baru-baru ini.


Gantikan bahan api
 

Dr Hanafi berkata, cara menggunakannya cukup mudah dengan hanya menaburkan serbuk berkenaan di permukaan air atau permukaan darat yang mana mampu menyerap minyak. 


“BananaSorp dalam bentuk serbuk itu adalah ringan daripada berat asalnya di samping tidak menyerap air serta sentiasa terapung di atas permukaan air yang memudahkan ia dikutip semula.


“Selain itu, kelebihannya ialah serbuk ditaburkan itu boleh digunakan sebanyak lima kali yang mana mempunyai kapasiti menyerap yang sama,” katanya. Tambah beliau, minyak yang dikumpulkan itu juga boleh digunakan sebagai  bahan api yang dikenali sebagai RubFuel yang mana mengandungi simpanan tenaga lebih kali lebih besar melalui proses pembakaran.


“Bahan api tersebut boleh dibakar secara begitu sahaja menggantikan arang batu ataupun ia boleh juga dicampurkan bersama arang batu untuk penjanaan elektrik. Dalam masa sama, Dr Hanafi menjelaskan proses menghasilkan bio  penyerap iaitu pada bermulanya dengan memotong batang pisang dan dibersihkan bagi membuang mikroorganisma.


“Kemudian, batang pisang yang dipotong kecil dikisar dan dicampurkan dengan bahan kimia sebelum dikisar sekali lagi. “Cara menghasilkan produk ini adalah mudah dan murah kerana hanya menggunakan mesin penggiling,  penggulung dan alat penekan panas,” katanya.


Menangi anugerah 
 

Tambah beliau, keunikan penggunaan bio penyerap itu mampu menangani masalah pencemaran alam sekitar terutamanya akibat tumpahan minyak di sepanjang  persisiran pantai.


Dengan penggunaan bahan bio penyerap minyak, masalah tumpahan minyak tersebut kini mungkin mampu ditangani daripada memudaratkan hidupan laut dan juga aktiviti ekonomi kepada manusia dengan kos yang sederhana dan biodegradasi.


“Dalam pada itu, penyerap minyak ini adalah penyelesaian terbaik untuk pembersihan tumpahan minyak di kawasan sesak dan sempit seperti gudang, kilang, stesen minyak, bengkel kereta dan industri petrokimia yang mana tempat   yang lazim mengalami tumpahan minyak,” katanya.


Penyelidikan selama tempoh lima tahun itu, berjaya mencipta satu produk yang mempunyai potensi luas dalam industri kerana ia sangat reaktif dan mempunyai nilai kalori yang tinggi daripada arang batu. Harga bahan penjerap  secara komersial diperbuat daripada gentian organik dijangka dipasarkan pada RM6 sekilogram.


Kajian untuk mencipta penjerap itu bermula pada 2007 dengan menggunakan geran Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan geran insentif USM berjumlah RM2 juta serta telah dipatenkan di peringkat tempatan.


Baru-baru ini, produk penyelidikan itu memenangi Anugerah Utama Korea International Women’s Invention Exposition (KIWIE) 2012 di Seoul, Korea dan RMUTT Innovation Special Award dari Rajamangala University of Technology  (RMUTT), Thailand. 

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com