KUALA LUMPUR — Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur malam tadi merampas pelbagai produk kesihatan dan kosmetik tidak
berdaftar dengan Kementerian Kesihatan yang dianggarkan bernilai RM200,000.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Cawangan Farmasi
jabatan itu, Norita Noraini berkata, rampasan produk kesihatan termasuk jamu,
ubat kuat dan antibiotik itu dilakukan di 14 premis sekitar Jalan Raja Bot di
sini, yang diserbu 70 pegawai dan anggota cawangan berkenaan, bermula pukul 8
malam.
"Daripada 14 premis itu, tiga daripadanya mempunyai
setor penyimpanan produk-produk yang dipercayai mengandungi racun berjadual
yang boleh memudaratkan pengguna.
"Sebuah daripada setor itu dibina di bawah tanah bagi
mengaburi pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata, premis yang mempunyai setor bawah tanah itu
dipercayai menjadi pembekal ubat-ubatan di sekitar kawasan Chow Kit.
Norita berkata, produk yang dirampas itu akan dihantar ke
pihak berkuasa kawalan dadah Kementerian Kesihatan untuk siasatan manakala
produk yang dipercayai mengandungi bahan beracun akan diserahkan kepada Jabatan
Kimia untuk dianalisis.
Jelas beliau, penjualan produk tidak berdaftar dan mengandungi
racun berjadual adalah dilarang mengikut Peraturan 71A, Peraturan Kawalan Dadah
dan Kosmetik 1984 dan Seksyen 13A Akta Racun 1952. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment