expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 17 June 2012

Melakar fikiran kritis orang muda




Tanpa mimpi dan imaginasi, insani tidak mampu mencapai evolusi. Lazimnya, sang pemimpi akan menjadi ahli fikir kritis untuk merealisasikan imaginasi yang didambakan. Lantaran, jika hari ini saya diizinkan untuk bermimpi, saya kepingin menyampaikan mesej untuk melakar pemikiran kritis dalam kalangan pelopor muda – perintis masa depan bangsa.


Dunia tidak pernah lengkap tanpa ejen inovasi, ahli falsafah, penulis, penyair, pendebat dan ahli fikir. Mereka pelopor kepintaran, perintis lorong kreatif dan pengubah peradaban dunia. Walau bukan bidang kerjaya yang menjanjikan pulangan kewangan yang setimpal, mereka ini wahana pencetus idea baru. Wadah pemikiran kritis dibawa, harus dicontohi generasi pelapis.




Seperti kata Edward De Bono, si tukang cipta konsep pemikiran lateral: “It is better to have enough ideas for some of them to be wrong, than to be always right by having no ideas at all.”


Maka, saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan bahawa telaga idea adalah nadi pemikiran kritis. Melakar fikiran kritis itu pula bagaimana?


Anda berfikiran kritis apabila mendakap konsep fikiran terbuka dengan menghitung setiap perspektif terlibat, menimbang tara risiko, menerima paradigma baru sekiranya lebih bagus, menyusun prioriti secara realistik dan tidak menolak mentah-mentah idea bukan populis tanpa sebab.




Si pemikir kritis juga mempunyai tahap rasional lebih mantap daripada emosi. Mereka menjulang alasan berlandaskan bukti bukan falasi, bijak membezakan antara buah fikiran dan omongan kosong semata.


Mereka juga jujur dalam mengesan kelemahan diri, kecenderungan impulsif, motif dan prejudis. Elemen disiplin turut menjadi tiang seri pemikiran kritis. Anda seorang yang kritis apabila mendidik minda untuk menjadi lebih analitikal, komprehensif, pragmatik, proaktif dan menolak unsur-unsur manipulasi.


Pengamatan dan keputusan generasi yang berfikiran kritis juga bebas daripada pengaruh ugutan dan persepsi picisan. Fikiran kritis juga menolak pandangan egois.


Secara kontras, minda yang tidak kritis pula menangani masalah hanya dengan dua cara, salah atau betul, tanpa menghitung keadaan persekitaran dan kerumitan isu yang sedang ditangani.


Mereka juga pasif dan sentiasa berpuasa hati dengan setakat apa yang ada. Tegar untuk terus tinggal dalam kepompong lama, enggan bertukar menjadi kupu-kupu perubahan.




Gabungan antara idea, analogi dan metafora, jika dianyam dengan sekata, bisa mengubah peradaban pemikiran kita. Jadi para pelopor muda, bila berfikir biar dalam, sebelum menurut membabi-buta, fikiran harus diasah di atas platform metakognitif.


Usah gusar para pelopor, kerana kemanusiaan itu sediakala kompleks sifatnya, namun minda yang bebas dan berani, bakal jadi obor penyuluh gelita. Jangan cepat mengikut telunjuk orang, tapi biar tangkas memburu rasional, bijak mendahului zaman.


Masa telah tiba untuk para pelopor muda, kalian wajib melintang bila bertemu sesuatu yang batil, harus membantah jika modul lama sudah lohong relevansi dalam kehidupan hari ini. Kita ikut pesanan dalam pantun lama:


Berburu di padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berfikir kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi.


Mungkin mesej ini berbaur leteran, barangkali juga ruangan ini retorik.


Namun, jika bijak memperhalus antara baris, nescaya bebelan ini bukan kosong. Saya lebih rela mati beragan daripada melihat generasi muda yang malas berfikir, takut mengkritik, enggan mencatur perubahan.


Perubahan tidak bermula di sekolah, rumah atau pegangan politik masing-masing. Perubahan yang hakiki bermula dari pemikiran yang bebas, kritis dan unik.


Pengayuh sama di tangan, perahu sama di air, apa lagi yang kita tunggu, ayuh mudik menuju laut pemikiran kritis. Apa guna menjadi wakalah merdeka negara, jika minda kita masih dipasung ideologi lama?

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com