MENYEDARI mereka berhadapan dengan satu gerombolan tentera
musuh yang memiliki segala kelebihan, sama ada dari segi jumlah tentera dan
kekuatan, lalu tentera Islam mengadakan satu mesyuarat.
Ada yang berpendapat adalah lebih baik, mereka tidak
menyerang musuh terlebih dahulu kecuali memberitahu Madinah, terutamanya kepada
Nabi Muhammad mengenai kekuatan angkatan perang yang begitu besar yang dimiliki
pihak musuh.
Kemudian mereka akan menunggu arahan baginda sebelum bertindak.
Setelah dua hari berbincang akhirnya ramai yang setuju dengan
cadangan menghantar laporan kepada baginda terlebih dahulu. Namun masuk hari
ketiga, salah seorang pahlawan Islam, iaitu Abdullah bin Rawahah bangun dan
berucap di hadapan para tentera.
"Wahai tentera Islam, mengapa kamu semua memilih Islam?
Tidakkah kerana Islam, kamu semua ingin menjadi penghuni syurga. Sekarang jalan
ke syurga sudah terbentang luas di hadapan kamu. Bukankah kamu mahu syahid?
Syahid sudah menunggu di hadapan mata kamu. Jika begitu, mengapa kita harus
lari? Apa ditunggu-tunggu lagi?
"Kita berperang memerangi musuh bukan kerana adanya
alat-alat (perang) yang lengkap, bukan dengan kekuatan yang besar, melainkan
dengan agama ini, yang Allah telah memuliakan kita dengannya.
"Kerana itu, marilah berangkat, maju terus untuk merebut
salah satu daripada kebaikan; sama ada kita menang atau kita mati syahid,"
seru Abdullah.
Ucapan Abdullah yang begitu berkobar-kobar itu menyebabkan
mereka yang lain turut bersemangat.
Mereka tidak lagi mengharapkan bantuan dari Madinah kerana
sedar dengan mengambil contoh kejayaan tentera Islam semasa Perang Badar,
keadaan yang ada sekarang tiada bezanya.
Mereka yakin jumlah yang kecil tidak bermakna akan kalah
tetapi kesemuanya adalah dengan ketentuan dan bantuan daripada Allah jua, lalu
mereka yakin kejayaan di Badar boleh diulangi di Muktah.
Lalu angkatan tentera Islam terus berjalan menuju ke
perbatasan Kota Balqa. Sebaik sahaja berhenti di sebuah kampung bernama
Masyarif, mereka dapat melihat akan barisan tentera pihak musuh yang sangat
besar itu.
Namun, apa yang mereka lihat itu sebenarnya hanya sebahagian
kecil sahaja daripada tentera musuh. Apabila tiba di Muktah, mereka dihidangkan
dengan satu pemandangan luar. Mereka dapat melihat hampir keseluruhan dan
betapa hebatnya tentera musuh.
Pada waktu itu, barulah terasa betapa 'kecilnya' tentera
Islam dan tentunya boleh dikalah dan dihancurkan dengan sekelip mata sahaja.
Namun berat mana pun ujian yang perlu dihadapi, tetapi
semangat pemimpin tentera Islam tetap berada pada tahap yang tinggi.
Mereka tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat supaya
tidak lari dari medan malah sama-sama mara ke hadapan.
Tsabit bin Arqam dengan lantang berkata: "Aku adalah
antara tentera Islam yang menyertai Perang Badar. Allah memberikan kemenangan
kepada kami walaupun jumlah tentera Islam sangat sedikit seperti yang ada pada
hari ini.
"Kemenangan bukan kerana bilangan (tentera) tetapi
harapkanlah segala bantuan daripada Allah, kita pasti menang, berjuang kerana
Allah, demi agama-Nya yang benar ini!"
Kata-kata Tsabit itu berjaya mengembalikan semangat pasukan
Islam.
Mereka yakin akan kebesaran dan kekuasaan Allah yang pasti
akan menolong mereka dengan mencukupkan segala kekurangan yang ada.
Mereka yakin, jika tidak menang sekali pun, maka akan mati
syahid yang mana ia adalah lebih baik.
Selaku Ketua Panglima Perang, Zaid bin Harithah membahagikan
tentera Islam kepada lima batalion.
Masing-masing ialah pasukan barisan hadapan, pasukan barisan
tengah, pasukan barisan belakang, pasukan barisan pertahanan kiri dan satu
lagi, pasukan barisan pertahanan kanan.
Masing-masing dengan strategi bagi menjaga barisan mereka
supaya tidak ditembusi oleh pihak musuh.
p/s : Semoga menjadi iktibar kepada umat islam hari ini untuk
lebih bersatu dan berjuang untuk islam sejati di akhir zaman ini.
No comments:
Post a Comment