MENJADI seorang pekerja mungkin agak mudah bagi segelintir
daripada kita. Ia mungkin tanggapan yang benar sekiranya kita menyangkakan
kerja yang dilaksanakan itu sekadar masuk pada waktu pagi dan keluar pada waktu
petang setelah mencukupi lapan jam.
Ataupun mungkin bagi sesetengah daripada kita yang menganggap
kerja ialah 'menunjukkan muka di pejabat'. Maka, tentunya ia lebih mudah dan
senang.
Namun, Islam tidak menganggap kerja semudah itu. Islam
menganggap kerja adalah sebahagian daripada ibadah. Sebagaimana ibadah-ibadah
yang lain, seperti mendirikan solat serta berpuasa, kerja yang dilakukan di
pejabat juga boleh diterima sebagai ibadah.
Bekerja adalah merupakan tuntutan agama yang perlu dipenuhi.
Ini sejajar dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tidaklah ada makanan
seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya daripada hasil usaha
tangannya sendiri. (riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, pekerjaan yang kita lakukan bukan sahaja
untuk mencari nafkah, tetapi ia dilakukan adalah untuk berkhidmat kepada
masyarakat.
Demikianlah yang digambarkan oleh Prof. Dr. Yusuf
al-Qaradhawi dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad
al-Islamiy (Peranan Nilai dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam), di mana beliau
menyatakan bahawa apabila seseorang itu telah mempunyai kekayaan yang melimpah
ruah sehingga dia tidak perlu bekerja untuk dirinya sendiri, namun tetap dia
perlu bekerja untuk masyarakat di sekelilingnya sebagai khidmat bakti kepada
mereka.
Bukanlah seorang yang benar-benar beriman sekiranya dia hanya
tahu berzikir dan melakukan solat siang dan malam. Namun pada waktu yang sama
dia meninggalkan tuntutan yang lain seperti bekerja untuk mencari nafkah kepada
keluarga.
Justeru, kita mahu supaya kerja yang kita lakukan dianggap
sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.
Sebagai seorang pekerja, apa yang perlu dicapai ialah
kejayaan organisasi. Ini adalah kerana, kejayaan sesebuah organisasi itu
menunjukkan kejayaan kepada pekerja-pekerjanya.
Namun, bagaimana sesebuah kejayaan itu dapat diraih? Adakah
ia bergantung kepada kemahiran pekerja semata-mata? Atau di sana terdapat
unsur-unsur lain yang dapat menyumbang kepada kejayaan tersebut?
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemahiran dan kepakaran
adalah elemen penting bagi membentuk kejayaan. Pun begitu, kita perlu memahami
bahawa kemahiran pekerja tidak akan memberikan apa-apa erti sekiranya pekerja
itu tidak mempunyai nilai akhlak yang tinggi.
Ini kerana, pekerja yang mempunyai masalah sikap adalah
pemusnah kepada pembangunan yang dibangunkan dalam sesebuah institusi. Justeru,
ingin ditekankan di sini bahawa sikap dan akhlak yang baik adalah merupakan
elemen yang paling penting dalam diri seseorang pekerja itu. Dengan kata lain,
kemahiran yang ada pada pekerja perlulah digandingkan dengan akhlak yang baik
dan terpuji.
Justeru, marilah kita jadikan tempat kita bekerja sebagai
satu 'hamparan sejadah' untuk kita beribadah dan melakukan amal soleh.
Mudah-mudahan ia dapat menampung kelemahan yang terdapat pada ibadah-ibadah yang
lain.
No comments:
Post a Comment