expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, 15 June 2012

Seberangi Niagara dengan kabel




















KEADAAN kabel besi yang merintangi air terjun dan akan dilalui Wallenda bagi mencatat rekod dunia.


NEW YORK: Pemegang enam rekod dunia Guinness, Nik Wallenda, akan cuba melakar sekali lagi namanya dalam sejarah dengan berjalan dari Amerika Syarikat ke Kanada melalui satu daripada air terjun terkemuka Niagara.


Di kenali sebagai Air Terjun Ladam Kuda, Wallenda menggunakan kabel besi untuk melengkapkan perjalanan sejauh 549 meter.


Lagak ngeri itu bakal disaksikan kira-kira 125,000 orang di air terjun memisahkan AS dan Kanada itu, manakala setengah bilion lagi menonton melalui televisyen.


Wallenda akan berjalan di atas kabel yang diikat setinggi 67 meter dari permukaan air.



















 



WALLENDA menunjukkan bagaimana dia mengimbangi dirinya ketika menjadi tetamu di studio ABC di New York, semalam.


Selama 40 minit, Wallenda akan berjalan di atas kabel besi itu dan berdepan pelbagai kesukaran, termasuk angin kencang, kabus dan - jika benar-benar bernasib malang - serangan burung helang yang bersarang di kawasan berkenaan.


Baru berusia 33 tahun, Wallenda mencipta nama sebagai pemegang rekod dunia bagi lagak ngeri berjalan di atas kabel besi.


Cubaan Wallenda itu boleh dianggap luar biasa kerana tiada sesiapa pernah mencubanya sebelum ini atas dua faktor.


Pertama, aksi seumpama itu dilarang di sekitar Niagara selama lebih satu abad, dan kedua, jika ia dibenarkan tiada sesiapa berani mencuba mencabar kuasa alam di situ.


Air terjun di situ menumpahkan 1,834 meter padu air dari Sungai Niagara setiap saat pada kelajuan 113 kilometer sejam ke Tasik Ontario.


Sebelum ini, banyak nyawa terkorban akibat kuasa alam semula jadi di situ.
Sesetengah pihak pula menjangkakan, tragedi bakal berlaku sekali lagi jika cabaran itu diteruskan.


Sepanjang tempoh mempamerkan keberaniannya sebelum ini, Wallenda tidak pernah menggunakan jaring atau wayar keselamatan ketika beraksi, sesuai dengan keberanian diwarisi daripada keluarganya yang turut terbabit dalam aktiviti sebegitu.


Di sebalik keberanian itu, tiga ahli keluarga Wallenda pernah terbunuh kerana keengganan mereka mengambil langkah keselamatan tambahan ketika beraksi.


Stesen televisyen milik Disney, ABC, membayar sejumlah wang yang besar bagi mendapat hak menyiarkan aksi itu secara langsung.


Sebagai penaja, ABC enggan mengambil risiko membuat siaran langsung yang mungkin berakhir dengan tragedi.


Justeru, stesen itu bertegas mahukan Wallenda mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum memulakan langkahnya.


Kebenaran diperoleh Wallenda selepas dia memujuk pihak berkuasa AS dan Kanada selama dua tahun.


Keperluan terhadap penajaan menyebabkan Wallenda terpaksa akur.


Justeru, dia akan menggunakan tali keselamatan yang diikat pada badannya ketika menyeberangi air terjun itu nanti. - DM

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com