expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 3 July 2012

Kelantan, QPR tampil barisan terkuat




KOTA BHARU – Juara Piala FA musim ini, Kelantan dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers (QPR) berjanji akan menampilkan barisan terkuat apabila kedua-dua pasukan turun beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam pada 20 Julai ini.


Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan kendalian Bojan Hodak itu tidak akan menggunakan mana-mana pemain jemputan sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada barisan pemain yang dimiliki sekarang.


“Inilah cabaran besar yang perlu ditangani pemain The Red Warriors. Ia bukan sekadar perlawanan persahabatan untuk suka-suka sahaja. Sebaliknya ia merupakan satu titik permulaan untuk kedua-dua pihak menjalinkan hubungan lebih erat selepas ini.


“Peluang beraksi dengan pasukan ternama yang sudah pasti berada jauh lebih baik daripada kita merupakan satu pendedahan yang sangat berguna kepada semua pemain. Baik Kelantan atau QPR, masing-masing tidak mahu kalah dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media mengenai pengumuman perlawanan tersebut, di sini semalam.


Hadir sama ialah Pengarah Perdagangan QPR, Euan Inglis, Ketua Pegawai Eksekutif Red Warriors, Kevin Ramalingam dan Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.


Malah Annuar secara berseloroh turut menjelaskan ada ganjaran istimewa menanti barisan pemainnya sekiranya mampu menewaskan skuad bimbingan Mark Hughes dalam pertemuan tersebut.


Kelab yang berpengkalan di London dan dimiliki Pengerusi Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes itu akan mengadakan Jelajah Asia dengan bertemu Sabah pada 17 Julai, Kelantan (20 Julai) diikuti Persebaya Surabaya (Indonesia) tiga hari kemudian.


Sementara itu, Inglis turut membayangkan tidak ada laluan mudah bagi Kelantan untuk menewaskan pasukannya memandangkan mereka juga akan menurunkan barisan terkuat dalam pertemuan itu nanti. “Ini merupakan sebahagian daripada persiapan pra-musim kami.


Saya sempat menyaksikan rakaman melibatkan pasukan Kelantan beberapa lalu.


Mereka sebuah pasukan yang kuat dan kami tidak memandang rendah walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan,” katanya. Antara beberapa pemain QPR yang mengesahkan akan turun beraksi ialah Robert Green, Dijbril Cisse, Shaun Wrigh-Phillips, Anton Ferdinand dan Bobby Zamora.


Sementara itu harga tiket bagi menyaksikan perlawanan ini ditetapkan RM33, RM53 dan RM 73. Tiket perlawanan boleh dibeli di Stadium Sultan Muhammad IV dan pejabat Kafa mulai Khamis ini. 

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com