TERESA dan anaknya,
Kelsey Bayne, 22, menikmati makan malam mereka.
PELBAGAI cara dilakukan dalam meluahkan rasa tekanan, marah,
sedih dan gembira. Berbeza pula bagi Teresa Widener, 45, yang berasal dari
Bedford, Virginia, Amerika Syarikat apabila dia memilih untuk meluahkan rasa
yang terpendam dengan memakan batu.
Menurutnya, semakin dia berasa gelisah, semakin banyak batu
akan dimakannya. Dia boleh memakan batu sebanyak 1.3 kilogram (kg) dalam
seminggu atau lebih daripada 1,360kg sepanjang hidupnya.
"Saya mula memakan batu sejak 20 tahun lalu jika
berdepan situasi sedih atau melalui hari yang buruk dengan mengambil segenggam
kerikil dan batu-batu yang disimpan di dalam sebuah almari khusus.
"Biasanya saya akan mengutip batu yang lebih lembut dan
rapuh ketika berjalan-jalan kerana bukan semua batu boleh dimakan. Untuk
menikmati kesedapan batu itu, saya terlebih dulu akan memecahkannya menggunakan
tukul besi," terangnya.
Tenang
Teresa kemudian akan memakan batu-batu itu secara perlahan-lahan
dengan gigi di sebelah kiri kerana menurutnya, gigi di bahagian itu lebih kuat
berbanding gigi lain. Dia juga mengaku tidak pernah berdepan masalah kesihatan
yang serius akibat tabiat pemakanannya itu. Hanya sekali-sekala dia sakit perut
tetapi jarang membuang air besar.
"Makan batu membuatkan saya berasa tenang. Kuantiti yang
diambil pula bergantung pada perasaan saya ketika itu. Untuk itu, saya rasa
lebih baik jika ada batu di rumah.
"Saya suka kerana ia juga memiliki bau tanah. Kadangkala
saya tidak membasuh batu-batu yang dikutip di tepi jalan kerana mahukan aroma
tanah yang terbit daripada batu itu," ujar Teresa kepada akhbar Dailymail.
Jelas Teresa, amalan memakan batu membantunya merawat
kekurangan zat besi yang disebabkan penyakit anemia yang dihidapnya.
Walaupun berasa tenang dengan tabiat peliknya itu, hidup
Teresa yang memakan batu berubah selepas dia berkahwin dengan Jim Widener.
Suaminya itu membantunya meninggalkan kebiasaan yang dilakukan sejak bertahun
lamanya itu.
Ujar Teresa, pada awal perkenalan, suaminya juga terkejut
melihat tabiat pelik Teresa yang gemar memakan batu tetapi perasaan cinta
mendorong suaminya itu untuk membantu Teresa melupakan tabiat pemakanannya yang
berbeza daripada manusia biasa itu.
Zat besi
Menurut pakar psikologi klinikal dari Amerika Syarikat, Dr.
Jordana Mansbacher, Teresa menghidap sejenis penyakit yang digelar sebagai
pica. Ia membuatkan pesakit menjadi obses memakan benda-benda yang tidak
seharusnya dijadikan bahan makanan.
"Pica biasanya terjadi kepada kanak-kanak, wanita yang
hamil dan orang dewasa. Penghidap akan memakan benda yang tidak masuk akal
seperti logam, kertas tandas, kain, kertas, kayu dan kulit.
"Punca kepada penyakit ini belum diketahui tetapi
berdasarkan penyelidikan awal, ia berkait rapat dengan faktor kekurangan zat
besi dan anemia yang boleh mencetuskan keinginan luar biasa. Penggunaan
ubat-ubatan hanya diperlukan sekiranya penghidap mengalami gangguan atau
disahkan mempunyai penyakit mental," jelas Mansbacher.
Tambahnya, wanita hamil biasanya mengalami anemia kerana
nutrien yang mereka ambil disalurkan terus kepada bayi di dalam kandungan.
Situasi itu menyebabkan mereka cenderung mengambil makanan yang kaya dengan zat
besi.
Mansbacher menyifatkan amalan memakan batu atau tanah sebagai
tidak sihat kerana ia boleh menyebabkan si pemakan dijangkiti kuman. Batu juga
boleh merosakkan tisu dalam badan sekali gus mengakibatkan pendarahan.
"Haiwan seperti serigala dan penyu juga memakan batu
untuk membantu penghadaman tetapi ia jarang berlaku pada manusia.
"Saya cadangkan Teresa menjalani ujian darah bagi
menentukan sama ada dia mempunyai masalah kekurangan mineral atau vitamin
tertentu. Sekiranya ada, dia perlu segera mendapatkan khidmat nasihat daripada
pakar," tuturnya.
No comments:
Post a Comment