SECARA umum,
semua orang memahami dan mengetahui Ramadan adalah bulan puasa iaitu bulan
menahan lapar dan dahaga. Tetapi kini, Ramadan pula dikatakan bulan pesta makan
dengan pelbagai juadah dijual di bazar Ramadan. Semuanya menguji keimanan dan
nafsu makan kepada setiap umat Islam.
Makanan pada
masa kini membabitkan pelbagai juadah, kuih-muih dan juga bermacam-macam jenis
nasi dan roti. Oleh itu, Ramadan mestilah dihayati dan dimanfaatkan sebagai
bulan berlapar dahaga buka bulan pesta makan.
Di masjid
pada masa dulu tiada moreh seperti sekarang yang ditaja daripada berbuka
hinggalah bersahur. Ada masjid yang membuat tajaan RM100 bagi satu bahagian dan
satu malam ada 12 hingga 14 bahagian. Ini bermakna sebanyak RM1,200 hingga
RM1,400 semalam. Ada masjid mengambil katering untuk penyediaan makanan. Semua
ini tidak salah. Tetapi seharusnya tidak membazir kerana membazir adalah
mengikut perangai syaitan.
Jika dulu
tiada bazar Ramadan yang menyediakan kuih-muih dan pelbagai makanan yang enak-enak
seperti sekarang. Kalau adapun jemputan berbuka puasa di rumah orang yang
berada sedikit seperti guru, ketua kampung dan penghulu. Itupun makanannya
tidak mewah seperti sekarang.
Kini, jika
pergi bazar Ramadan kecur air liur kerana mengingini sesuatu makanan. Ada juga
tajaan berbuka di hotel mewah yang menyediakan pelbagai makanan enak.
Sebagai
peringatan di bulan Ramadan, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Hidangan
makanan untuk dua orang seharusnya cukup untuk tiga orang dan makanan untuk
tiga orang cukup untuk empat orang. (riwayat al-Bukhari). Di sinilah
terdapatnya falsafah tersirat di bulan Ramadan.
Tetapi perlu
diingat penyediaan makanan yang bersih dan selamat dimakan mestilah diutamakan
terutama di bazar Ramadan. Penyediaan makanan dari awal pagi mungkin tidak
selamat dimakan. Ada peniaga yang menggunakan tangan yang sama untuk membungkus
makanan dan mengambil wang. Perlu diingat wang penuh dengan kotoran dan
beribu-ribu tangan memegangnya.
Kesedaran
tentang perkara ini masih lagi rendah. Di samping itu ada juga peniaga yang
mendedahkan makanan di tempat panas dalam keadaan yang terbuka dan terlalu lama
yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Kita tidak mahu ada pembeli yang
terkena keracunan makanan seperti mangsa yang boleh menyebabkan meninggal dunia
selepas menikmati juadah berbuka puasa.
No comments:
Post a Comment