ISLAM adalah
agama yang mementingkan kesederhanaan hidup dalam segala aspek. Sifat sederhana
ini mencerminkan kemurnian iman dan kesyukuran kepada Allah atas limpah nikmat
kurnia-Nya yang tidak terhingga yang tidak terhitung banyaknya.
Sesuai
dengan falsafah dan hikmah puasa yang mengajar manusia menahan diri daripada
makan dan minum di siang hari kerana melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah.
Melaluinya secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah dan bilangan
kekerapan makan dan minum secara teratur. Lantaran itu, perbelanjaan seharian
akan lebih berhemat dan selamat daripada membazir atau boros.
Islam juga
amat menekankan tentang bimbingan kepenggunaan dan mendidik agar sederhana
dalam berbelanja terutama di bulan Ramadan. Bulan puasa sewajarnya mendidik
umat Islam supaya menahan nafsu mata dan nafsu perut agar tidak boros
berbelanja. Sifat dan amalan sederhana dalam makan dan perbelanjaan sangat
digalakkan oleh Islam kepada umatnya.
Sempena
Ramadan lagi sudah terdapat pelbagai tawaran harga murah dan juadah dijual di
bazar Ramadan yang menguji iman. Sifat sederhana adalah sifat hamba-hamba Allah
yang dekat dengan-Nya. (rujuk al-Furqan: 67)
Jelaslah
sifat sederhana ini amat dititikberatkan dalam kehidupan umat Islam. Seseorang yang
bersifat sederhana tidak mudah ditimpa kesusahan dan kepapaan. Selain itu, ia
juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap kesusahan orang lain yang harus
dibantu.
Jadikan
kesederhanaan sebagai cara hidup yang baik dan sihat. Tidak akan melarat
sesiapa sahaja yang mengamalkan cara hidup yang sederhana.
Melalui
sifat kesederhanaan akan lahirlah rasa syukur, sabar, tawakal dan insaf di hati
seseorang. Sifat-sifat ini juga banyak membawa kebahagiaan hidup kepada
pengamal sifat ini terutama dalam suasan ekonomi meleset dan harga barang
melambung tinggi.
Cerdik
pandai Islam pernah berkata, kesenangan hati dan ketenangan jiwa adalah lebih
berharga daripada kesenangan kerana pangkat dan kekayaan yang melimpah ruah.
Apabila manusia tidak memerdekakan jiwanya daripada harta benda, maka harta
benda yang dimilikinya itu akan menguasainya.
Oleh itu,
carilah kesenangan hati dan ketenangan jiwa di bulan Ramadan dengan mengamalkan
kesederhanaan dalam berbelanja. Godaan nafsu mata seperti kata peribahasa,
'rambang mata' ketika membeli-belah haruslah dikawal bagi mengelakkan
pembaziran. Belilah barang atau makanan yang perlu sahaja supaya tidak
melakukan pembaziran.
Imam Abu
Hanifah pernah berkata, sepotong roti, segelas air dan sehelai kain yang
diperoleh dengan jalan halal, lebih baik daripada hidup mewah yang kemudian
menimbulkan penyesalan.
Sikap
sederhana ini ditekankan apabila barangan menjadi berkurangan sewaktu musim
kemarau dan kelaparan. Inilah yang telah diceritakan dalam al-Quran dalam kisah
Nabi Yusuf a.s., yang telah mengurangkan penggunaan barangan sepanjang tujuh
tahun yang subur untuk disimpan buat menghadapi musim kemarau. (rujuk Yusuf:
47).
Dalam hal
hidup sederhana Nabi SAW bersabda: "Makanlah, minumlah, pakailah dan
bersedekahlah, jangan berlebih-lebih (boros) dan janganlah untuk
bermegah-megah." (riwayat Abu Daud dan Ahmad).
No comments:
Post a Comment