expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday, 29 July 2012

Usah jadikan agama bacaan, hafalan

















SOLAT SUNAT TARAWIH...hukum mengerjakan solat tarawih adalah sunat yang sangat dituntut dan hanya dilakukan pada bulan Ramadan.


APA gunanya berpuasa jika tidak menunaikan solat lima waktu? Tiada guna juga kita menunaikan solat sunat tarawih pada bulan Ramadan ini tetapi tidak bersolat fardu. 


Solat itu tiang agama yang wajib dilaksanakan setiap Muslim. Itulah antara kesilapan umat Islam yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini kerana melihat ibadah sebagai ikut-ikutan dan menjadi pak turut.


Jika seseorang beribadat semata-mata hanya kerana Allah, solat dan puasanya akan dilakukan dengan keikhlasan tanpa ada pemisahan.


Yang pasti, bagi mereka yang berpuasa, tetapi tidak menunaikan solat, ibadah mereka sia-sia, rosak dan tidak diterima Allah SWT. 



















 


JAGA PAHALA PUASA...berpuasa bukan saja menahan diri daripada lapar dahaga, tetapi perlu mengelak daripada mengeluarkan kata-kata dusta, fitnah serta perbuatan tercela.


Rasulullah pernah berpesan, amalan pertama yang akan dihitung di akhirat kelak adalah solat. Moga-moga kita tidak termasuk dalam golongan yang dinyatakan itu.


Sebab itu, solat fardu amat penting kita jaga setiap hari, bukan hanya di bulan Ramadan, tetapi pada bulan-bulan lain. 


Matlamat puasa adalah meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Apa lagi yang hendak ditingkatkan jika kita tidak bersolat? 


Perunding motivasi syariah, Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi berkata, orang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat menjadi konflik dalam masyarakat.


“Bagi mereka yang mengingkari perintah solat dan menolak kewajipan solat dengan sengaja maka dihukumkan sebagai murtad (terkeluar daripada Islam) oleh ijmak ulama dan puasanya tidak sah.


“Manakala bagi mereka yang tidak menunaikan solat kerana malas atau sengaja tanpa keuzuran syarie, tetapi tidak menolak kewajipan solat maka sesetengah ulama mengiktiraf iman dan Islamnya selagi mana dia beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta tidak mencela atau menafikan apa yang dibawa nabi hanya dihukumkan sebagai fasik.


“Syeikh Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya ‘Fatawa Muasirah’ berpendapat, orang Islam dituntut melakukan semua ibadat iaitu mendirikan solat, berzakat, dan berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji jika berkemampuan.


“Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia melampaui batas terhadap Allah”.


“Namun jangan menganggap puasa diterima walaupun tidak solat, kerana puasa itu mendidik kita lebih bertakwa. Puasa tetap sah jika memenuhi rukun puasa yang ditetapkan serta tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa.


“Sah yang dimaksudkan ialah seseorang tidak dituntut dalam fiqh untuk qadha (gantikan) puasa,” katanya.


Beliau berkata, terdapat hadis yang memberi ingatan kepada kita ada yang berpuasa, tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. 


“Contohnya, ada yang berpuasa tetapi masih melakukan fitnah atau berbohong.
Hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda:
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya.”


“Jika berakhlak buruk sudah pasti puasanya ditolak. Apatah lagi jika meninggalkan solat fardu, mereka akan mendapat dosa berkali-kali ganda,” katanya.


Mohd Fakhrurrazi berkata, puasa hanya diperintahkan kepada orang yang beriman dan dia menunaikan dalam ketaatan dan perasaan gembira.


“Tidakkah umat Islam merasa bangga apabila Allah memilih mereka melaksanakan ‘tugasan istimewa’ ini? Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 dengan menyatakan: “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” 


“Bayangkan, jika majikan memberi ‘tugasan khas’ kepada kita kerana kelayakan serta kemampuan yang kita miliki, pasti kita berbangga,” katanya.


Menurutnya, puasa yang dianggap adat perlu ditukar menjadi ibadah dengan menghargai perintah serta menjalankan dengan sebaik mungkin.


“Orang yang berpuasa akan dimakbulkan doanya, nafasnya menjadi ibadat dan pahala, memperoleh kesihatan yang baik, amalan digandakan serta pelbagai ganjaran hebat lain.


“Kita perlu memberi pemahaman yang betul kepada anak. Nabi menyuruh kita mendidik anak mengenal agama bukannya memberi fokus kepada perbuatan dalam agama.


“Jika agama itu hanya dibaca, dihafal tanpa memahaminya, ia akan ‘dimuntahkan’ semula seperti menjawab peperiksaan.


“Dalam bulan mulia ini, mulakan dimensi baru dengan memberi maklumat sebenar kepada anak mengenai matlamat, keperluan serta hala tuju ibadah puasa,” katanya.


Beliau berkata, solat fardu yang ditunaikan secara berjemaah hukumnya fardu kifayah oleh mazhab Syafie.


“Ia disokong hadis Ibnu Umar yang menyatakan mereka yang menunaikan solat fardu secara berjemaah adalah lebih utama daripada solat bersendirian dengan 27 darjat bahkan ada hadis menerangkan, Nabi sanggup membakar rumah mereka yang tidak mahu menunaikan solat secara berjemaah. 


“Namun, ada yang memberi alasan ‘popular’ tidak menunaikan solat fardu berjemaah berbanding mampu menunaikan solat tarawih berjemaah disebabkan kekangan masa dan faktor kerja seharian.


“Pepatah Melayu sudah menyebut, ‘Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih’.


Jika dilihat dari sudut yang positif, menunaikan solat tarawih secara berjemaah mampu mendidik kita mengamalkan solat fardu secara berjemaah. 


“Perhatikan apabila waktu solat sunat tarawih, berapa ramai jemaah baru hadir ke masjid atau surau bersama-sama menghidupkan malam Ramadan.


“Musuh Islam cukup takut jika solat fardu Subuh di masjid seperti solat Jumaat atau solat tarawih. Isu mendahulukan solat sunat berbanding solat fardu adalah faktor pendidikan.


“Tidak perlu menuding jari menyalahkan sesiapa, tetapi mulakan ia daripada diri sendiri serta keluarga,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com