expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 24 July 2012

Penonton bola sepak terkena mercun saman FAM, 3 lain




KUALA LUMPUR - Seorang pereka grafik yang mengalami kecederaan mata kekal ekoran terkena mercun ketika menyaksikan perlawanan bola sepak pada Julai tahun lepas, hari ini memfailkan saman RM776,000 terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ketua Polis Selangor dan dua lagi. 


Ahmad Jazimin Mohd Jalaludin, 30, memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan N.M Main & Associates di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini. 


Beliau menamakan FAM sebagai defendan pertama, Ketua Polis Selangor sebagai defendan kedua manakala Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga hingga keempat.


Menerusi penyata tuntutan beliau mendakwa mengalami kecederaan pada mata kanannya ketika menonton perlawanan bola sepak prakelayakan Piala Dunia 2014 melibatkan pasukan negara Malaysia dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai tahun lepas. 


Ahmad Jazimin yang turut hadir di mahkamah, mendakwa beliau dan penonton lain memasuki stadium tanpa melalui apa-apa saringan atau pemeriksaan badan oleh penjaga pintu masuk ataupun anggota polis.

  
Beliau mendakwa ketika kejadian kira-kira 8.45 malam, satu mercun telah jatuh di tempat duduk penonton dan meletup hingga mengenai mata sebelah kanannya.


Ahmad Jazimin mendakwa pihak FAM gagal mematuhi piawaian dan standard penganjuran perlawanan bola sepak antarabangsa yang ditetapkan oleh pihak Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) sepanjang perlawanan tersebut.


Tambahnya defendan kedua dan ketiga gagal menempatkan anggota polis mencukupi bagi tujuan keselamatan di pintu masuk untuk mengekang percubaan membawa masuk bahan dan objek terlarang ke dalam stadium.


Ahmad Jazimin menutut ganti rugi am RM100,000, ganti rugi khas kehilangan upaya pendapatan RM576,000, ganti rugi has RM100,000, faedah, kos dan relif lain.


Sementara itu peguam Nik Mohamad Anuar Badiruddeen memberitahu pemberita writ saman akan diserah kepada defandan dalam tempoh 14 hari. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com