expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday, 24 July 2012

Gastrik tidak halang puasa




Setiap kali tiba Ramadan, setiap kali alasan yang sama diberikan, gastrik dan tidak boleh lapar menyebabkan tidak boleh menjalankan Rukun Islam ke tiga. 


Tetapi apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan ibadah puasa? 


Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif. 


Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut, pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan. 


Secara semulajadi sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang mencernakan makanan. 


Asid yang kuat ini boleh menghakis besi dan sel perut menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi. 




 
Orang yang mengadu sakit perut apabila lapar menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan jika sakit perut selepas makan mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah. 


Ramai menganggap serangan gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat. 


Sebenarnya semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul. 


Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan gastrik tetapi tabiat pemakanan semasa berbuka. 




"Semasa berbuka, mulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, tunaikan solat maghrib dan selepas itu barulah ambil makanan lebih berat," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini. 


Malangnya apabila tiba masa berbuka, ramai yang berbuka dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang menyebabkan ketidakhadaman. 


Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut. 


Sebenarnya mereka yang menderita gastrik masih juga boleh menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.




Dua kali


Semasa Ramadan, kita hanya makan dua kali sehari dan tidak makan di antara dua masa makan buka dan sahur. 


Dr. Malik berkata, semasa berbuka dinasihatkan hanya minum air dan makan makanan yang ringkas seperti kurma atau buah-buahan kering. 


Kurma dan makanan kering amat baik kerana dapat merangsang asid untuk menerima lebih banyak makanan. 


Kurma juga kaya dengan garam galian seperti potasium selain lambat membebaskan tenaga. 


Seelok-eloknya kata Dr. Malik, selepas minum air dan kurma, solat dulu sebelum sambung makan yang lebih berat dan selepas itu jangan ambil makanan berat. 


Semasa bersahur pula ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat kerana ketika itu perut belum bersedia menerima makanan. 


Bagaimanapun sahur amat penting untuk badan kerana ia seperti mengambil sarapan pagi. 


Dr. Malik berkata, sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres. 


Gastrik bukan disebabkan tidak mengambil makanan tetapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang. 


Mereka yang mempunyai simptom gastrik disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut. 


Gastrik yang disebabkan oleh bakteria boleh diubati dengan mengambil ubat antibiotik.



 
Berhenti


Masalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.


Dr. Malik menambah, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.


"Jadi, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa, melainkan jika ia terlalu memudaratkan. 


"Jika disahkan menghidap gastrik, jumpa dan minta nasihat doktor mengenai pemakanan, gaya hidup dan ubatan yang perlu diambil," katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com