SINGAPURA -
Bilionair Malaysia, Tan Sri Ananda Krishnan (gambar) semalam meminta mahkamah
tinggi di sini supaya menguatkuasakan arahan sebuah pusat timbang tara terhadap
rakan perniagaannya dari Indonesia, James Riady supaya membayar sebanyak AS$300
juta (RM955 juta).
Jumlah
tersebut diputuskan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura pada 2010 selepas
mereka bertelingkah berhubung kegagalan kerjasama perkhidmatan televisyen
berbayar di Indonesia.
Pusat
timbang tara itu diwujudkan bagi menyelesaikan pertikaian perniagaan yang
rumit.
Krishnan
mengetuai empayar komunikasi Astro di Malaysia manakala Riady mengendalikan
konglomerat Kumpulan Lippo Indonesia.
Beliau yang
diwakili oleh peguam kanan Britain, David Joseph berhujah di mahkamah bahawa
Riady perlu membayar jumlah tersebut kerana Kumpulan Lippo gagal menepati
tarikh akhir rayuan keputusan pusat timbang tara berkenaan.
"Tiada
proses lain untuk Kumpulan Lippo mencabar keputusan tersebut atau kesahihannya,"
kata Joseph.
"Keputusan
agensi timbang tara ini adalah muktamad dan diiktiraf di bawah undang-undang
Singapura. Justeru keputusan ini perlu dikuatkuasakan." tambahnya.
Joseph turut
mendedahkan perhubungan melalui surat antara beberapa peguam yang mewakili
Astro dan Kumpulan Lippo dalam usaha membuktikan bahawa Riady sedar sepenuhnya
berhubung had masa untuk membuat rayuan berhubung keputusan kes itu. - AFP
No comments:
Post a Comment