WASHINGTON -
Satu-satunya pesakit HIV yang dipercayai sembuh menerusi pembedahan pemindahan
sum-sum, Timothy Ray Brown (gambar) memberitahu kelmarin bahawa dia berasa
kagum dan kini melancarkan satu yayasan baharu bagi menggalakkan penyelidikan
bagi mencari ubat penyakit maut itu.
Brown, 47,
yang berasal dari bandar raya Seattle dalam negeri Washington, popular selepas
beberapa doktor cuba menggunakan teknik yang unik itu dengan menggunakan
penderma kebal HIV untuk menjalani satu pemindahan sel induk bagi mengubati
penyakit leukemianya.
Sejak 2007,
dia telah menjalani dua pembedahan pemindahan tulang sum-sum dan menunjukkan
keputusan yang negatif dalam ujian HIV.
"Saya
menjadi bukti bahawa AIDS boleh diubati," kata Brown dalam satu wawancara
bersama agensi berita AFP.
"Sungguh
mengagumkan apabila dapat sembuh daripada jangkitan HIV," tambahnya.
Lelaki itu
sedang belajar di Berlin, Jerman apabila didapati positif HIV pada 1995 dan
diberitahu dia cuma boleh hidup selama dua tahun lagi.
Namun,
kombinasi terapi antivirus yang muncul di pasaran dunia setahun kemudian
membolehkan jangkitan HIV yang dihidapi berjuta-juta penduduk dunia dirawat.
Terapi itu
dapat mengekang kuman HIV di dalam badan Brown tetapi dia memilih untuk menemui
seorang doktor pada 2006 selepas mengalami kelesuan yang berpanjangan.
Dia kemudian
disahkan menghidap leukemia dan menjalani rawatan kemoterapi yang
menyebabkannya mengalami pneumonia dan kandungan darahnya mengandungi bakteria
beracun.
Dalam usaha
menyelamatkan nyawa Brown, doktornya, Gero Huetter mendapat idea untuk
melakukan pembedahan pemindahan tulang sum-sum dengan menggunakan penderma sel
induk yang memiliki gen mutasi CCR5.
Mereka yang
tiada gen CCR5 kebal terhadap jangkitan HIV kerana sel mereka tidak boleh
ditembusi virus tersebut.
Namun,
manusia yang tiada gen CCR5 jarang ditemui dan dipercayai cuma satu peratus
penduduk dunia yang tinggal di rantau Eropah Utara memiliki keupayaan tersebut.
Idea Huetter
adalah untuk cuba menyembuhkan leukemia dan HIV menerusi pembedahan transplan
itu.
Brown
didapati bebas daripada kuman maut itu selepas menjalani pembedahan tersebut. -
AFP
No comments:
Post a Comment