expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday, 29 July 2012

Tidak batal tetapi kurang pahala




Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi ia tidak mendapatkan apa-apa daripada puasanya itu, kecuali rasa lapar dan dahaga.” (Riwayat Imam Ahmad)


Ini menunjukkan puasanya tidak batal tetapi pahalanya kurang atau tiada, maka puasanya menjadi sia-sia. Antara faktornya disebabkan kata-kata dusta sama ada ketika Ramadan khususnya atau dalam bulan lain umumnya.


Kita perlu ingat bahawasanya pada Ramadan Al Mubarak perbuatan baik digandakan pahalanya manakala perbuatan jahat juga digandakan dosanya.


Contohnya ibadah haji sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, sesiapa yang difardukan dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka janganlah dia bercakap perkataan keji, berbuat fasik dan berdebat dalam masa mengerjakan haji.” (Surah Al Baqarah : 197)


Adakah orang yang tidak mengerjakan haji boleh berkata keji, melakukan kefasiqan dan maksiat, dan berjidal sesuka hati? Tidak, tetapi ketika mana dia sedang melaksanakan ibadah haji di Tanah Haram, keburukan yang dilakukan itu akan digandakan sebagaimana kebaikan digandakan.


Begitu juga dalam Ramadan, pahala daripada amal kebaikan itu ALLAH SWT akan gandakan sesuai kehendak-Nya. Maka keburukan perlu ditinggalkan sebab syaitan diikat dan dibelenggu pada bulan ini sebagai motivasi supaya kita berjaya.


Segala halangan beribadah pada bulan ini ditutup oleh ALLAH, bahkan menutup pintu neraka dan membuka pintu syurga. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “... Sesungguhnya sangat terhina dan rendah seseorang yang datang kepadanya Ramadan kemudian bulan tersebut berlalu sebelum diampunkan untuknya (dosadosanya)...” (Riwayat At Tirmidzi dan dinilai sahih oleh Al Albani dalam Shahih Al jami’)


Abu Hurairah RA berkata: “Bahawa Nabi Muhammad SAW naik ke atas mimbar, lalu menyebut: “Amin, amin, amin”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ketika engkau naik ke atas mimbar, engkau mengucapkan: “Amin, amin, amin”, kenapa?”


Baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail telah mendatangiku, lalu berkata: “Siapa yang mendapati Ramadan lalu tidak diampuni baginya, maka akhirnya masuklah dia ke dalam neraka dan dijauhkan ALLAH (dari syurga), katakanlah “Amin”, maka aku pun mengucapkan: Amin...” (Riwayat Ibnu Hibban, dinilai sahih dalam Shahih Al Jami’) Itu adalah doa Jibril AS ketika Nabi berada di atas mimbar. Jibril makhluk yang tidak bermaksiat kepada Allah, makhluk yang hanya melakukan ketaatan kepada Allah telah berdoa kecelakaan untuk orang yang seperti ini bahkan diaminkan oleh Nabi SAW yang maksum.


Kalau hendak dikategorikan tahap keberkatan doa ini, Allah SWT yang Maha Mengetahui. Terdapat banyak contoh perbuatan yang sia-sia dan keji sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:




 
“Puasa bukanlah dengan menahan makan dan minum semata-mata. Akan tetapi puasa juga adalah dengan menahan diri daripada perbuatan sia-sia dan keji. Apabila ada seseorang yang mencela kamu maka katakanlah padanya, 'Aku sedang puasa, aku sedang puasa'.” (Riwayat Ibnu Majah dan Al Hakim. Dinilah sahih oleh Al Albani dalam Sahih At Targib wa At Tarhib no. 1082)


Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang puasanya tidak mencegah daripada bercakap dusta dan melakukan kedustaan, maka ALLAH merasakan dia tidaklah perlu menahan makan dan minumnya (puasa).” (Riwayat Imam Bukhari)


Hal yang sia-sia paling banyak dilakukan orang yang berpuasa pada Ramadan, antaranya banyak menghabiskan masa siang hari dengan menonton televisyen dan mendengar muzik di radio.


Secara umumnya kedua-dua media elektronik menyajikan kandungan yang tidak berfaedah. Bahkan ada kandungan khusus disiapkan untuk siaran Ramadan seperti drama sinetron. Manakala bulan puasa adalah bulan yang paling banyak rancangan bertemakan makanan untuk bersahur, berbuka dan hari raya.


Maka Ramadan bertukar menjadi pesta makanan. Ternyata ia tidak mengiltizami semangat menahan lapar dan dahaga. Benarlah apa yang dikatakan masyarakat Barat suatu ketika dahulu mengenai televisyen sebagai ‘idiot box’.


 

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com