ALHAMDULILLAH,
syukur tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kita telah dianugerahkan sekali
lagi kesempatan untuk menjadi tetamu Ramadan. Ia seumpama tempat persinggahan
sementara yang mempunyai timbunan rahmat dan kasih-sayang daripada Allah SWT,
sebelum kita meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi.
Seorang
cendekiawan Islam pernah berkata bahawa hidup ini umpama perjalanan sebuah
kereta api. Setiap tempat yang menjadi persinggahan tidak akan dijumpai lagi
selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang
sepatutnya.
Itulah
perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang
fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya
tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok.
Ramadan yang
telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadan kali ini. Kita tidak akan
dapat melalui semula perhentian Ramadan yang telah berlalu. Apa yang boleh
dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.
Berapa ramai
di kalangan orang yang rapat dengan kita tidak sempat bersama-sama dengan kita
pada Ramadan hari ini. Mereka mungkin berbuka puasa dan menunaikan solat
terawih bersama kita pada Ramadan yang lalu, namun malangnya mereka sudah tidak
berkesempatan untuk bersama-sama dengan kita pada kali ini.
Mereka yang
sedang membaca tulisan ini perlu merasa bertuah dan beruntung kerana dipilih
oleh Allah SWT sekali lagi untuk menggarap sebanyak mungkin pahala yang
disediakan oleh Allah SWT.
Pepatah
Melayu ada menyebut; "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna." Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya
sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan kita sebelum ini. Allah SWT
sengaja menyebutkan beberapa ayat yang menjelaskan penyesalan mereka yang
mensia-siakan kehidupan di dunia ini.
Antaranya
ialah firman Allah SWT: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika
orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka
(dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah
melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari
dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal
yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (al-Sajadah: 12)
Dan firman
Allah SWT: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang
Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut
kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:
Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku
ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat
pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)
Demikian
juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui
sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi.
Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai "tarikh luput"nya yang
tersendiri.
Bahkan Allah
SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di
akhirat kelak. Sabda Nabi SAW: "Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di
akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya dengan LIMA perkara;
tentang umurnya bagaimana dia habiskan, tentang masa mudanya bagaimana digunakan,
tentang hartanya dari mana datangnya, ke mana dibelanjakan harta tersebut dan
apakah yang dilakukan dengan ilmunya. (riwayat Tirmidzi)
No comments:
Post a Comment