ALLAH SWT
telah menyebut keadaan dunia, iaitu Dia mendahulukan keadaan orang yang taat
(Rasulullah SAW dan umatnya) berbanding keadaan orang yang derhaka.
Sebelum
perintah dan larangan yang berhubung dengan Rasulullah SAW dikeluarkan, Allah
SWT telah memerintahkan agar baginda SAW bersabar terhadap gangguan kaumnya
yang alami beliau.
Ini adalah
untuk menghilangkan kesedihan Rasulullah SAW serta menguatkan hati baginda,
sehingga berlapang hati mendepaninya.
Firman Allah
SWT: Sesungguhnya mereka (orang kafir) menyukai kehidupan dunia dan mereka
tidak memperdulikan kesudahan mereka, pada hari yang berat (hari akhirat). (al-Insaan:
27)
Al-Maraghi
berkata: Jangan kamu mengikut rentak orang kafir dan kerjakanlah ibadah kerana
mereka telah meninggalkan akhirat untuk dunia iaitu mereka mengutamakan dunia
dan kagum dengan perhiasannya sehingga mereka tenggelam dalam kelazatan yang
bersifat sementara. Mereka juga meninggalkan amalan yang dapat menyelamatkan
mereka daripada azab serta bala bencana.
Ibnu Kathir
berkata: Allah SWT memberikan penolakan terhadap orang-orang kafir dan yang
serupa dengan mereka dalam mencintai serta mengejar dunia dan meninggalkan
kehidupan akhirat jauh di belakang mereka.
Sayid Qutub
berkata: Orang-orang kafir itu hidup dengan cita-cita yang dekat dan kecil
sahaja. Minat dan cita-cita mereka hanya tertumpu dalam lingkungan hidup dunia
sahaja dan mereka tidak menghiraukan hari akhirat yang amat berat
tanggungjawabnya dan amat berat akibatnya serta amat penting di dalam neraca
hakikat.
Firman Allah
SWT: Kami telah menciptakan mereka dan menguatkan persendian tubuh mereka,
apabila kami menghendaki, kami sungguh-sungguh mengganti (mereka) dengan
orang-orang yang serupa dengan mereka. (al-Insaan: 28)
Mendekatkan diri
Al-Maraghi
berkata: Bagaimana mereka lalai kepada Kami, padahal Kami telah mencipta mereka
dan meneguhkan ikatan sendi-sendi, urat-urat serta saraf-saraf mereka? Apakah
selepas ini Kami juga akan membiarkan mereka begitu sahaja? Jika Kami
kehendaki, pasti Kami akan binasakan mereka dan kami datangkan pengganti yang
lain bagi menggantikan mereka yang dibinasakan itu.
Ibnu Abbas,
Mujahid dan lain-lain mengatakan: Yakni penciptaan mereka.
Ibnu Zaid
dan Ibnu Jarir berkata: Yakni, jika kami mahu maka akan Kami datangkan kaum
lain selain mereka.
Sayid Qutub
berkata: Mereka tidak berkuasa melawan Allah SWT dengan kekuatan mereka kerana
Allahlah yang menciptakan mereka dan memberi kekuatan kepada mereka. Dan
andainya Allah SWT memberi tempoh kepada mereka dan tidak menukarkan mereka
dengan orang-orang yang lain dari mereka, maka itu merupakan kemurahan dan
kebaikan daripada-Nya sahaja dan juga merupakan keputusan dan hikmah
daripada-Nya sahaja.
Firman Allah
SWT: Sesungguhnya (ayat-ayat) Ini adalah suatu peringatan, Maka barang siapa
menghendaki (kebaikan bagi dirinya) nescaya dia mengambil jalan kepada
Tuhannya. (al-Insaan: 29)
Al-Maraghi
berkata: Barang siapa yang menginginkan kebaikan bagi dirinya di dunia dan
akhirat hendaklah dia mendekatkan diri kepada Tuhannya dengan ketaatan. Begitu
juga hendaklah mengikut apa yang diperintahkan Allah SWT kepadanya dan berhenti
daripada apa yang dilarang untuknya agar dia mendapat pahala dan dijauhkan
daripada azab Allah SWT.
Ibnu Kathir
berkata: Surah ini menjadi peringatan, barang siapa mahu maka dia boleh
memperoleh petunjuk daripada al-Quran.
Semoga Allah
mengurniakan kita segala sifat mahmudah yang melayakkan kita menghuni
syurga-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment