expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, 25 July 2012

Rumah agam RM250j













TERGENDALA... ‘istana’ Siegel yang terjejas akibat masalah ekonomi AS.


KETIKA ekonomi terus sukar dan pasaran hartanah merudum, rumah terbesar di Amerika Syarikat juga tidak terkecuali daripada menderitai kesannya.


Sebuah rumah agam 30 bilik tidur di Windermere, dekat Orlando, Florida, yang dibina dengan reka bentuk mencontohi Istana Versailles di Perancis, mengalami penyusutan nilai sebanyak AS$10 juta (RM30 juta) dan kini berharga RM205 juta.


Anda mungkin terfikir, dengan harga sebegitu, rumah berkenaan boleh diduduki dengan hanya memberi notis singkat kepada pemiliknya.



















 




LUAS... ruang legar yang belum siap. Gambar di sebelah ialah gambaran artis apabila ia siap.


Namun, kediaman mewah itu baru dua pertiga siap dan dianggarkan RM90 juta lagi diperlukan untuk menyempurnakannya.


Apabila siap, rumah agam itu ditawarkan kepada sesiapa yang sanggup membayar AS$90 juta (RM283.9 juta) - itu pun selepas diberi potongan harga sebanyak AS$10 juta (RM30 juta).


Ketika pembinaannya dimulakan, pemilik rumah itu tidak menyangka akan menjadi mangsa kelembapan ekonomi AS. Justeru, mengikut perancangan asal, rumah berkenaan dibina dengan pelbagai kemudahan, termasuk gelanggang boling, litar kasut roda dan kolam renang bersaiz Olimpik.




















 








ROMANTIS... pasangan Siegel dan Jackie.


Rumah itu dimiliki David Siegel, 77, dan isterinya yang juga bekas ratu cantik, Jackie, 56.


Sebelum ini, mereka terikat dengan pembikinan filem dokumentari berjudul Queen Of Versailles yang sepatutnya menceritakan pembinaan rumah terbesar di AS itu.


Keruntuhan ekonomi AS memaksa rancangan asal diubah menjadi dokumentari mengenai masalah kewangan dihadapi pasangan terbabit sehingga menyebabkan pembinaannya terhenti empat tahun.


Pembinaan ‘istana’ itu - dianggap ramai sebagai ‘cita rasa buruk’ pemiliknya terhenti pada 2010 apabila Siegel mula terasa kesan kemelesetan.




















 







RAMAI ANAK... Jackie sibuk melayan anak-anaknya di rumah yang menjadi kediaman sementara mereka sebelum rumah sebenar dapat disiapkan.


Membesarkan lapan anak, pasangan Siegel kemudian bercadang menjual rumahnya supaya memperoleh modal bagi dilaburkan semula dalam bisnesnya.


Awal tahun ini, Siegel berkata, bisnesnya kini pulih dan kerja menyiapkan rumah agam itu disambung semula.


Siegel menjangkakan, rumah agam itu dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun dan jika tidak dibeli sesiapa, mereka akan berpindah ke situ.


Ketika ini, Siegel sekeluarga menetap dalam sebuah rumah agam berhampiran.




















 








SERBA MEWAH... gambaran artis apabila istana Siegel siap.


Kata Siegel, sama ada rumah itu terjual atau tidak adalah isu lain.


Ejen hartanah sebelum ini berkata, ada pembeli dari Russia dan Asia Timur berminat kepada rumah itu, yang dibina 32 kilometer dari Orlando.


Selain 30 bilik tidur, rumah Siegel dibina dengan 23 bilik mandi yang menghadap pemandangan indah Tasik Butler, selain ruang tamu yang dihias pelbagai perabot mahal, serta panggung kanak-kanak.


Turut dibina tiga kolam renang, sebuah rumah bot yang besar, taman, rumah pengawal dan garaj bawah tanah yang muat untuk 20 kereta.


Semua 23 bilik mandi itu dilengkapi tab mandi, tingkap kaca tiga lapis dan pintu kayu mahogani Brazil dengan gaya Perancis bagi memastikan lebih banyak cahaya masuk ke rumah berkenaan.


Tingkap rumah itu juga ditempah khas dan disiapkan secara manual dengan kos lebih RM10 juta.


Untuk aktiviti riadah, Siegel membina satu gelanggang besbol, dua gelanggang tenis, dewan tertutup yang mempunyai kubah setinggi 10 meter, dua tangga utama, 10 dapur sampingan, dua tingkat stor arak dan tiga spa berasingan di sebalik kolam buatan yang dihiasi air terjun hampir 30 meter.


Untuk keselesaan bertugas, ada dua ruang pejabat dibina, masing-masing untuk Siegel dan Jackie yang dihiasi akuarium sepanjang empat meter.




















 








KAYA... rumah yang menjadi kediaman Siegel ketika ini.


Kata Siegel, dia tidak mengehadkan sebarang kos bagi membina rumah berkenaan.


“Bahan menyiapkan rumah ini diterbangkan khas dari seluruh dunia,” katanya.


Jackie yang memenangi anugerah Ratu Cantik Florida pada 1990-an, memang gemar bersosial dengan golongan hartawan di negeri itu.


Untuk membolehkan Jackie bergaul dengan orang ramai, dia menggaji sekumpulan pembantu bagi menjaga semua anaknya yang berusia antara enam hingga 17 tahun.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com