SEORANG lelaki mendukung seorang
wanita dekat sebuah kereta yang terperangkap dalam banjir di Beijing kelmarin.
BEIJING - Seramai 10 orang maut selepas hujan paling lebat
dalam tempoh 60 tahun melanda ibu kota China ini yang turut menyebabkan banjir,
lapor agensi berita Xinhua semalam.
Kira-kira 80,000 orang turut terperangkap di sebuah lapangan
terbang utama di sini ekoran hujan tersebut.
Hujan itu bermula pada waktu tengah hari kelmarin dan
berterusan sehingga malam.
Beberapa batang jalan raya turut dilanda banjir.
BEBERAPA orang berjalan
dalam hujan di tepi runtuhan sebuah struktur bangunan di Beijing kelmarin.
Menurut agensi berita tersebut, dua orang terbunuh selepas
bumbung sebuah bangunan runtuh manakala seorang lagi maut dipanah petir di
pinggir Tongzhou.
Beberapa kematian lain berlaku disebabkan kejutan elektrik
ekoran tiang elektrik tumbang, lapor Xinhua.
Menurut Beijing News, lebih 500 penerbangan dibatalkan di
Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.
Bagaimanapun, sistem tren bawah tanah tidak terjejas walaupun
terdapat ramai orang yang menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke rumah
selepas mereka tidak dapat menggunakan teksi, bas dan kereta sendiri.
Menurut Xinhua, ibu kota ini menerima secara puratanya
kira-kira 170 milimeter (mm) hujan.
Ia melaporkan daerah perbandaran Fangshan menerima sebanyak
460mm hujan. - Reuters
No comments:
Post a Comment