expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 29 July 2012

Makanan manis rosakkan gigi




SELEPAS menikmati juadah berat, terutama bufet, biasanya kita akan melengkapi ‘pakej’ dengan menjamah manisan seperti kek, kuih-muih tradisional mahupun pencuci mulut diikuti buah-buahan.


Kalau sudah namanya manisan, jarang ia dibuat dengan rasa manis minimum. Sebaliknya, juadah pemanis mulut dihasilkan dengan manis secukup rasa atau kadangkala terlebih manis hingga kita terpaksa ‘membilas’ dengan minum banyak air kosong.




 
Sejak kecil, kita kerap disogokkan dengan makanan manis. Secara semula jadi, kanak-kanak menggemari makanan manis seperti gula-gula, jeli, coklat dan kek. Lihat saja ketika sambutan hari jadi, ibu bapa si kecil biasanya menghadiahkan tetamu kanak-kanak dengan buah tangan berisi gula-gula, coklat dan snek.


Kanak-kanak yang takut makan ubat juga sering diumpan dengan gula-gula selepas berjaya menghabiskan dos diberikan.


Pengambilan makanan bergula secara berlebihan boleh menyebabkan pembentukan karies gigi. Gigi susu yang sepatutnya boleh bertahan sehingga sekolah rendah, lebih cepat rosak.




 
Jika kita perhatikan, ada kanak-kanak yang rongak biarpun baru melangkah ke tadika, ada juga yang giginya bertukar seperti tunggul kayu mahupun hitam.


Mengambil makanan atau minuman manis menyebabkan bakteria mudah membiak di dalam mulut. Ini kerana makanan manis adalah ‘makanan’ bakteria yang mengakibatkan terjadinya asid, menyebabkan gigi rosak.


Bagi menghindari pembiakan bakteria dalam mulut, amalkan berkumur, menyahkan sisa makanan yang terselit di celah gigi atau gosok gigi selepas makan. Amalkan menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu selepas bangun tidur dan sebelum tidur.


Selain itu, kurangkan pengambilan makanan atau minuman manis serta hidangan yang mempunyai kandungan gula tersembunyi seperti sukrosa, dektrosa, laktosa, fruktosa dan maltosa. Istilah ini boleh dilihat pada label kandungan makanan.


Kita tidak perlukan gula terlalu banyak dalam makanan harian kerana karbohidrat yang diambil setiap hari turut bertukar menjadi glukosa atau gula. Jauhi minuman berkarbonat, jus buahan yang ditambah gula, selain mengurangkan pengambilan ais krim, coklat dan kek.




 
Kesihatan bermula dari gigi yang sihat dan tabiat menjaga kesihatan gigi dan gusi patut didik sejak kecil.


Ini kerana, jika amalan mengambil makanan manis berterusan di samping tahap penjagaan gigi yang rendah, seseorang itu lebih mudah terdedah kepada masalah kerosakan gigi. Senyuman menawan datang daripada gigi yang sihat, tersusun dan putih berseri.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com