expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 25 July 2012

Apex penjaga gol termahal Negara




KOTA BHARU – Dengan pendapatan selaku duta dan pemain bola sepak mencecah ratusan ribu ringgit, penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat kini dipercayai menjadi penjaga gol termahal negara ketika ini.


Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengakui  pendapatan di luar padang penjaga gol berusia 23 tahun itu sudah mencecah ratusan ribu ringgit malah lebih banyak daripada gaji yang terima beliau bermain dengan Kelantan.


“Kafa menaikkan sejumlah gaji yang cukup lumayan sebaik sahaja Apex menandatangani kontrak baru-baru ini. Saya percaya, beliau merupakan penjaga gol termahal ketika ini.,” katanya kepada Sinar Harian semalam.


“Kita menawarkan kontrak selama tiga tahun dan Apex bersetuju untuk terus bermain dengan Kelantan. Memang banyak negeri sebelum ini ada menawarkan peluang bermain kepada beliau. Tetapi beliau mengambil pendekatan duduk berbincang dengan saya mengenai masa depannya bersama Kelantan.


“Saya bangga dengan sikap beliau, tidak tergopoh-gapah di dalam membuat sesuatu keputusan. Apex merupakan produk Kelantan dan sudah pasti kita mahu bentuk personaliti beliau bukan setakat di dalam tetapi juga di luar padang,” katanya.


Tiga hari lalu, penjaga gol utama kebangsaan yang dikenali panggilan Apex memeterai perjanjian untuk kekal beraksi bersama Kelantan bagi tempoh tiga tahun sekali gus menamatkan spekulasi mengenai penghijrahan beliau sebelum ini.


Mengulas mengenai desas-desus penghijrahan beberapa pemain Kelantan yang bertiup kencang ketika ini, Annuar memberi kebebasan sepenuhnya kepada pemain The Red Warriors dalam menentukan hala tuju mereka bersama pasukan tersebut pada musim depan.


“Pemain beritahu saya, banyak negeri menemui mereka secara terus (menawarkan kontrak). Saya tidak halang dan beri kebebasan kalau ada mana-mana pemain yang mahu bermain dengan pasukan lain.


“Tetapi setakat yang saya tahu, tidak ada seorang pemain pun yang mahu berhijrah. Mereka mahu kekal di sini dan minta gaji dinaikkan. Kita tidak ada masalah dan bersedia memenuhi permintaan tersebut.


“Malah ada tujuh pemain menerima kenaikan gaji terus biarpun Liga Malaysia musim ini belum tamat. Mereka tandatangan (sambung kontrak) bulan lalu, kita terus naikkan gaji tanpa tunggu bulan November.


Dalam perkembangan sama, Annuar turut membayangkan kesediaannya melepaskan beberapa pemain yang gagal mendapat tempat dalam skuad The Red Warriors musim ini sebagai galakkan mereka meneruskan kerjaya masing-masing bersama pasukan lain.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com