expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 3 July 2012

Sepertiga malam masa sesuai berdoa, taubat





Kelebihan qiamullail, solat sunat tahajud


Solat, rukun Islam kedua adalah tiang kepada agama dalam kehidupan harian seseorang muslim. Apabila Nabi SAW mengibaratkan solat sebagai tiang sesuatu binaan, maka dapatlah kita gambarkan bahawa solat adalah ibadat agung dan penting yang perlu dilaksanakan setiap Muslim. Ibadat agung penting.


Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya aku akan memakbulkan untuknya, sesiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikannya dan sesiapa yang memohon taubat kepada-Ku nescaya aku akan ampunkan dosanya. - Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi


Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara tertinggi sesuatu urusan itu adalah Islam dan tiangnya adalah solat.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi) 


Jika rosak ibadat solatnya maka akan rosak dan runtuhlah amalan ibadat yang lain yang diikat oleh tiang solat tersebut.




 
Ibadat solat lima waktu difardukan kepada umat Islam melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj iaitu pada 27 Rejab, 18 bulan sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah al-Munawwarah. Persoalan, sekarang adakah Nabi SAW dan sahabat pernah menunaikan solat sebelum peristiwa Isra’ dan Mikraj?


Kebanyakan ulama antaranya Imam al-Syafi’e dalam kitab al-Umm menyatakan, sebelum difardukan solat lima waktu, ibadat solat difardukan dalam bentuk solat malam atau dikenali sebagai solat tahajud. 




Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang berselimut, bangunlah untuk solat malam kecuali sedikit masa (untuk kamu berehat). Iaitu separuh daripada waktu malam atau kurangkanlah sedikit daripadanya.” (Surah al-Muzzammil, 1-3) 


Menurut al-Imam al-Syafi’e, selepas sekian lama Nabi SAW dan sahabat melakukan solat malam, maka kewajipan itu dimansuhkan firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan manusia yang bersamamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jugalah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Ia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Ia menarik balik perintah-Nya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah sesuatu yang mudah untuk kamu membacanya daripada Al-Quran (dalam sembahyang).” (Surah al-Muzzammil, ayat 20) 


Qiamullail bermaksud ibadat yang dilakukan pada malam hari, sebaik-baiknya sepertiga akhir malam. Antara ibadat dilakukan adalah solat sunat pada waktu malam atau lebih dikenali solat sunat tahajud, berdoa, berzikir dan membaca al-Quran. 


Dalilnya ialah firman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman dengan ayat keterangan Kami hanyalah orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong dan takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin tamak untuk memperoleh keredaan Allah SWT. dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah al-Sajadah, ayat 15-16)




Kelebihan qiamullail


Sesungguhnya qiamullail mempunyai kelebihan cukup besar antaranya, sabda Nabi SAW: “Allah SWT turun ke langit dunia pada setiap malam ketika mana berbaki sepertiga malam yang terakhir lalu berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya aku akan memakbulkan untuknya, sesiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikannya dan sesiapa yang memohon taubat kepada-Ku nescaya aku akan ampunkan dosanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) 


Inilah kelebihan utama yang Allah SWT sediakan kepada hamba-Nya yang bangun untuk menunaikan solat pada waktu sepertiga malam. Ini juga waktu paling sesuai untuk hamba tunduk memohon ampun dan taubat kepada Allah SWT. 


Waktu inilah juga Allah SWT memperkenankan doa dan permintaan hamba-Nya. Gunakanlah peluang ini untuk berinteraksi dengan Allah SWT. Ceritakanlah kesedihan kita alami dalam kehidupan dan pohonlah petunjuk daripada–Nya.


Jika kita melakukan dosa maka pohonlah taubat dengan sebulat hati, semoga segala dosa yang kita lakukan sama ada dalam keadaan sedar mahupun tidak, diampunkan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com