expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 20 May 2012

Annuar Musa mahu FAM bentuk tribunal



Annuar Musa


KOTA BHARU - “Saya akan menghantar surat kepada Jawatankuasa Eksekutif bagi memohon diwujudkan satu Tribunal Timbang Tara”. Itu kenyataan rasmi pertama yang dikeluarkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa sejak hukuman penggantungan dua tahun enam bulan dikenakan ke atas beliau awal bulan lalu.


Tanpa sesekali berniat mahu mencabar badan induk bola sepak kebangsaan itu, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, tindakan tersebut dilakukan setelah ruang untuk beliau mengemukakan rayuan dinafikan sebelum ini.


“Saya mahu menyelesaikan isu ini dalam semangat kekeluargaan FAM. Tribunal tersebut mesti diwujudkan oleh Exco dan saya akan melantik pasukan peguam sendiri. Begitu juga di pihak FAM mereka juga perlu melantik peguam bagi mengadili proses perundangan ini.


“Biarlah mereka meneliti perkara ini atas nama mencari kebenaran dan keadilan. Kalau bukan memihak kepada saya sekali pun tetapi demi memastikan urus tadbir bola sepak negara dapat dilakukan menerusi normal-normal perundangan antarabangsa yang betul," kata beliau.


Sambil menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas beliau tidak sah, Annuar berkata, Statut 88 itu perlu dikaji secara mendalam kerana disalah takfsir dan menafikan hak selaku penjawat yang mempunyai tanggungjawab menjaga kepentingan awam selain bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang menjamin kebebasan bersuara.


“Saya bertegas Statut 88 tidak wajar dikekalkan dalam bentuk seperti mana ia ditafsirkan pada masa sekarang dan merupakan perlanggaran 'freedom of speech' di mana saya dinafikan hak untuk bersuara.


“Adakah saya tidak mempunyai pengetahuan (bidang kuasa) di atas tugas rasmi selaku Timbalan Pengerusi pasukan bola sepak kebangsaan di dalam majlis rasmi, jemputan rasmi, sidang media rasmi dan memberi kenyataan media sehinggakan dikatakan kononnya melanggar peraturan tersebut.


“Apatah lagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sendiri tidak mempunyai peraturan sedemikian. Saya tidak nampak kenapa kita mesti mempunyai undang-undang yang lebih tinggi daripada kedua-dua badan induk pentadbir bola sepak tersebut," kata beliau lagi.


Malah, supremo bola sepak Kelantan itu menegaskan Statut 88 itu bercanggah dengan Artikel 18.3 dan 18.5 berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sepasukan peguam yang dilantiknya baru-baru ini.


“Ia satu penemuan (artikel 18.3 dan 18.5) yang sangat serius. Ini kerana artikel tersebut menyatakan sama ada dengan kebenaran atau tidak (dalam mengeluarkan kenyataan), kalau jawatankuasa mendapati ia salah maka tetap salah.


“Sedangkan Statut 88 menyatakan seseorang tidak dibenarkan membuat kenyataan melainkan mendapat kelulusan Kongres FAM. Ini bermakna artikel tersebut lebih tinggi sebab sekiranya Kongres melulus sekali pun tetapi ia tetap salah. Sebab itu hukuman yang dikenakan kepada saya tidak sah kalau mengguna pakai Statut 88 tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com