expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Sunday 13 May 2012

Fobia jumpa doktor





SEBUT saja doktor gigi, pasti terbayang tingkahnya yang tersenyum lebar di tepi kerusi rawatan sambil memegang mesin gerudi gigi. Mulalah terbayang detik menakutkan ketika di bangku sekolah, di mana doktor gigi yang datang melawat melakukan prosedur menampal serta menggerudi gigi yang rosak.


Sakitnya ketika menjalani proses itu bukan kepalang hinggakan diri seakan ‘berjanji’ tidak mahu lagi bertemu doktor hatta melangkah ke klinik gigi. 


Apa yang pasti, ramai di kalangan kita pernah merasai pengalaman itu hinggakan ia meninggalkan kesan trauma pada diri lalu terbawa-bawa sehingga berkeluarga. 


Dek gerunnya apabila memikirkan pengalaman itu, mereka yang trauma enggan ke klinik bagi pemeriksaan berkala dan hanya bertemu doktor apabila keadaan atau kerosakan gigi makin kritikal. 


Menurut pakar pergigian, Dr R Bala Subramaniam, rasa takut atau kebimbangan yang serius serta persepsi buruk mengenai rawatan pergigian banyak menyebabkan masyarakat di negara ini tidak mendapatkan penjagaan pencegahan yang betul. 


“Akibatnya, masalah sakit gigi yang kecil akhirnya melarat kepada jangkitan serius hingga boleh menjejaskan kesihatan secara keseluruhan. 


“Penyakit gusi misalnya, adalah jangkitan serius yang boleh menjejaskan bahagian lain dalam tubuh dan kajian mendapati ia boleh menghubungkan kepada penyakit seperti jantung, strok serta kencing manis,” katanya. 


Tambah Dr Bala, apabila seseorang meningkat dewasa, rasa takut terhadap doktor gigi itu sebenarnya tidak lagi berpunca daripada pengalaman lampaunya tapi saling bercampur-baur dengan perasaan kurang kawalan pada diri sejurus duduk di kerusi rawatan. 


“Apabila mula duduk di kerusi rawatan, ramai pesakit yang berasa mereka tidak mampu untuk bercakap atau bertindak balas dengan doktor hingga mencetuskan tekanan lalu membuatkan proses rawatan makin rumit dan menyeksakan. 


“Biasanya doktor berbincang terlebih dulu dengan pesakit mengenai prosedur pemeriksaan dan rawatan, jadi jangan takut untuk suarakan pendapat atau rasa tidak selesa kerana ia juga membantu doktor dalam memahami lebih lanjut mengenai tahap kesakitan atau masalah pesakit,” ujarnya. 


Perkembangan teknologi yang pesat dalam dunia perubatan turut menjadikan pengalaman mendapatkan rawatan di klinik gigi era ini lebih selesa dengan rasa sakit yang minimum. 


“Teknik serta penggunaan alatan pergigian ketika ini lebih mesra pesakit dan prosedur yang dilakukan juga tidak lagi memakan masa lama serta kurang sakit. 


Tapi bau ubat dan peralatan rawatan masih ada cuma mesin yang digunakan lebih kecil dan kurang bunyi bising. 


“Kebanyakan klinik gigi juga mula memasang lagu instrumental untuk memberikan rasa tenang pada pesakit,” jelasnya. 


Biasanya, perbincangan awal dimulakan sebelum doktor memberitahu mengenai rawatan sesuai untuk masalah pesakit. 


“Doktor akan menerangkan lebih lanjut mengenai keadaan kesihatan gigi pesakit antaranya menunjukkan masalah yang dihadapi menggunakan kamera intra-oral. 

Lalu, doktor memberitahu mengenai rawatan yang akan digunakan dan menjelaskan kesan tindak balasnya atau rasa sakit yang akan dialami selepas itu. 


“Saya sering tegaskan pada pesakit mereka boleh minta rawatan dihentikan seketika jika mula rasa tidak selesa, jadi cara ini membolehkan pesakit tahu mereka mempunyai kawalan terhadap apa yang berlaku. 


“Bagi pesakit yang terlalu takut dengan rasa kesakitan, mereka boleh memilih untuk melakukan rawatan dengan anestesia yang membuatkan mulut rasa kebas lalu tidak berasa apa-apa sepanjang rawatan. Tapi anestesia itu hanya boleh dilakukan mengikut tahap serius masalah seseorang. 


“Pertemuan pertama antara pesakit dan doktor biasanya cuma pemeriksaan biasa, jadi pesakit tidak perlu tergesa-gesa melakukan rawatan lanjut. 


“Untuk pesakit yang mempunyai banyak masalah, doktor akan merawatnya satu persatu dan bukannya semua dalam masa yang sama. 


“Selepas pesakit menjalani satu rawatan, temujanji akan dilakukan untuk rawatan lain mengikut masa atau hari yang dirasakan sesuai oleh pesakit. 


“Cara rawatan perlahan-lahan ini dapat membantu pesakit mengurangkan rasa tekanan, sekali gus menghilangkan rasa takut berjumpa doktor,” jelasnya. 


Selain mendapatkan rawatan untuk masalah yang dihadapi, masyarakat turut digesa ke klinik gigi untuk pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun. 


“Setiap kali datang ke klinik untuk pemeriksaan, bawa sekali anak-anak kerana secara tidak langsung ia dapat mendidik mereka untuk lebih bertanggungjawab daripada segi penjagaan kesihatan gigi. 


“Membawa anak kita berjumpa doktor gigi adalah antara perkara penting bagi memastikan gigi mereka dalam keadaan sihat serta dapat menggalakkan tabiat menjaga kebersihan diri yang baik. 


“Daripada sudut pandangan kanak-kanak, lawatan ke klinik gigi boleh menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan juga menakutkan. Bagi mereka yang pertama kali bertemu doktor, mereka pasti tidak keruan kerana disuruh berbaring atas kerusi dalam bilik asing yang penuh dengan bunyi dan objek yang tidak dikenali, ditambah dengan orang yang tidak dikenali memasukkan alatan logam dalam mulut mereka. 


“Untuk mengatasinya, ibu bapa perlu berusaha memujuk anak-anak dengan kata-kata lembut, bukannya memaksa mereka terus duduk melakukan rawatan. 


“Doktor juga tidak mendesak kanak-kanak ini meneruskan pemeriksaan atau rawatan apabila mereka tidak lagi boleh memberikan perhatian pada arahan,” jelasnya. 


Selain itu, Dr Bala menggesa ibu bapa supaya elakkan janji manis dengan mengatakan semuanya akan baik dan seronok kerana jika kanak-kanak itu memerlukan rawatan, dia mungkin hilang rasa percaya pada ibu bapa dan doktor. 


“Saya sering tekankan pada ibu bapa jangan gunakan perkataan ‘sakit’ pada anak mereka. Biasanya doktor dan jururawat mempunyai ayat pujukan tersendiri bagi membantu kanak-kanak ini berdepan situasi itu. 


“Paling penting ialah kehadiran ibu bapa di sisi anak-anak kerana mereka akan rasa lebih selamat untuk meneruskan rawatan,” ujarnya. 


Pelbagai kempen serta aktiviti pergigian juga boleh dijadikan platform untuk ibu bapa memujuk dan mendekatkan kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga kesihatan gigi. 


Antara aktiviti kesihatan pergigian berlangsung ketika ini ialah Kempen Bulan Kesihatan Mulut bertemakan ‘Misi Kami, Kaviti Sifar’ yang mensasarkan pendedahan lebih menyeluruh mengenai teknik penjagaan gigi yang betul di kalangan masyarakat. 


Melalui pameran bergerak yang dijalankan di seluruh negara, lebih 500,000 penduduk disasarkan menyertai kempen ini yang mana mereka berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan mendapatkan pemeriksaan gigi percuma di 772 klinik pergigian ahli MDA sepanjang bulan ini.


1 comment:

  1. apalah nak takut,doktor spatutnye jd kwan kta coz die kan nak rawat kite....

    ReplyDelete

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com