expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 19 May 2012

Keluarga Kennedy: Teori sumpah dan konspirasi ‘kembali segar’



Gambar fail tahun 2009, Robert F. Kennedy Jr. (kanan) dan isterinya, Mary Kennedy. - Foto EPA


LOS ANGELES – Nama Kennedy bukan asing lagi dalam arena politik Amerika Syarikat (AS). Setiap kematian melibatkan keluarga itu dikaitkan dengan ‘sumpahan’ dan konspirasi lebih enam dekad.


Bermula daripada kisah Rosemary Kennedy, bekas Presiden John F Kennedy sehingga yang terbaru kematian Mary Richardson Kennedy semalam - menjadi satu lagi peristiwa sedih dalam dinasti Kennedy.


Isteri Robert F. Kennedy Jr itu dilaporkan meninggal dunia kerana bunuh diri. Namun polis belum membuat sebarang pengesahan mengenainya.


Salah seorang ahli keluarga mendiang berkata mereka sekeluarga berasa amat kesal dengan kematian Mary dan tidak mahu membuat sebarang komen buat masa ini.


Walaupun pernah terkenal dengan kuasa politik, namun satu demi satu tragedi menimpa keluarga mereka selama beberapa dekad kebelakangan ini.


Bermula dengan kematian Ted Kennedy akibat berah otak pada 2009, masih kekal di ingatan warga Amerika.


Kuasa politik keluarga ini bermula dengan baik selepas Joseph Kennedy Sr meluluskan satu lobotomi iaitu prosedur yang jarang digunakan ke atas anak perempuan beliau, Rosemary pada 1941.


Namun demikian, prosedur pembedahan ini gagal dan tidak seperti yang dirancang. Akibatnya Rosemary mengalami kerosakan mental dan meninggal dunia pada 2005.


Tidak lama selepas pembedahan Rosemary, Joseph Kennedy Jr ditembak mati ketika Perang Dunia Kedua pada 1944. Kemudian, pada 1948, kakak sulung Kennedy, Kathleen terbunuh dalam nahas pesawat ketika perjalanan ke Perancis.


Sepuluh tahun kemudian, John F Kennedy atau dikenali sebagai Jack Kennedy pula menjadi Presiden muda yang cergas dan yang dilihat dapat memenuhi citarasa rakyat tetapi dibunuh pada 1963. Ia merupakan tragedi tergempar dan amat sukar untuk melupakan insiden ini.


Setahun kemudian, pada Jun 1964, Ted Kennedy mati dalam nahas kapal terbang yang turut membunuh pembantunya, Edward Moss.


Seterusnya pada 1968, Robert Kennedy meneruskan keunggulan keluarga Kennedy dan idea beliau berkempen menambat hati para pengundi seterusnya dicalonkan parti Demokratik bagi jawatan presiden.


Malangnya, beliau juga dibunuh dalam bulan yang sama di sebuah hotel selepas berkempen.


Satu demi satu tragedi melibatkan keluarga Kennedy apabila tahun berikutnya Ted Kennedy pula mendapat penghinaan orang awam apabila memandu kereta secara merbahaya di jambatan Pulau Chappaquiddick dan menyebabkan seorang lemas.


Tragedi tidak berhenti setakat itu saja.


Generasi mereka yang seterusnya, Davis Kennedy, anak keempat daripada 11 anak Bobby Kennedy mati akibat mengambil dadah berlebihan pada 1984. Lima belas tahun kemudian, John Kennedy Jr, yang dikenali sebagai John-John, meninggal dunia ketika mengendalikan pesawat ringan. Turut terbunuh isterinya, Carolyn dan kakak iparnya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com