expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday 22 May 2012

Piala FA: Kelantan timbang ganjaran kepada Red Warriors



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan
NGO Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood


KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan mempertimbangkan pemberian ganjaran kepada pemain-pemain Red Warriors selepas muncul sebagai juara pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Sabtu lepas.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


"Insentif ini juga sebagai galakan kepada mereka untuk berusaha lebih gigih pada Liga Super dan Piala Malaysia nanti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Kelantan mencipta sejarah dengan muncul juara Piala FA selepas menewaskan Sime Darby FC 1-0 selepas menunggu selama 22 tahun bagi mencipta kejayaan itu. 


Pada 2009 dan 2011, pasukan itu hanya berjaya menyandang gelaran naib juara selepas tewas di tangan Selangor dan Terengganu.

  
Abdul Fattah berkata beliau yakin Nik Aziz akan memberi imbuhan kepada para pemain berikutan kejayaan pasukan Kelantan yang dilihat memberi inspirasi kepada anak muda di negeri ini.


"Kita letakkan bola sepak sebagai minat nombor satu di Kelantan pada masa ini dan saya melihatnya sebagai kebangkitan baru bola sepak negara. 


"Ia bukan sahaja jadi kebanggaan rakyat Kelantan, tetapi bagi seluruh negara juga," katanya. 


Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berkata kerajaan negeri akan mengadakan sambutan Hari Anak Muda Kelate pada 24 hingga 26 Mei ini di Pantai Irama, Bachok.


"Kita menjangkakan kehadiran 22,000 anak muda dan rakyat Kelantan pada majlis berkenaan yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Khamis ini," katanya. 


Antara acara menarik pada sambutan itu adalah X-Games, kapal terbang aksi, sukan paramotor, pertunjukan "Buggy car", konvoi basikal  fixxie dan motosikal. -- Bernama

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com