KOTA BHARU 7 Jun - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa (gambar) telah
memfailkan saman pemula terhadap badan induk bola sepak negara itu berhubung
kes penggantungannya.
Saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam
kelmarin melalui tetuan Jaswant & Kamaruddin.
Dalam saman tersebut, Annuar yang juga Presiden Persatuan
Bola Sepak Kelantan (KAFA) menamakan FAM sebagai defendan pertama dan
Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad defendan kedua.
Annuar berkata, tindakan itu dibuat bukan untuk mencabar
hukuman telah dijatuhkan ke atasnya, tetapi ia berkaitan dengan perlanggaran
undang-undang yang dibuat dalam menjatuhkan hukuman tersebut.
"Jangan silap faham. Ada dua aspek mengenai urusan dalam
sukan. Tidak timbul soal mencabar hukuman, itu memang sudah dalam bidang kuasa
FAM dan mahkamah pun tidak akan mendengar pertikaian berkenaan hal sukan.
"Ramai yang keliru dalam hal ini. Yang saya bawa ini
adalah perkara-perkara berkaitan perlanggaran undang-undang mengenai proses
saya dihukum. Saya tidak bawa hal sukan ke mahkamah.
"Yang saya bawa adalah tentang proses macam mana kaedah
perundangan ke atas saya yang didapati bercanggah dengan undang-undang negara
dan saya telah menyenaraikannya," katanya ketika ditemui pemberita di
pejabatnya di sini hari ini.
Annuar memberitahu, beliau berharap dapat pertimbangan
sewajarnya daripada mahkamah berkaitan kesnya.
"Saya mahu FAM mematuhinya. Adalah mustahak buat FAM
apabila melaksanakan sesuatu perkara yang dianggap dan seolah-olah diberitahu
kelihatan dari segi undang-undang, tetapi sebenarnya tidak mematuhi
undang-undang.
"Jadi, apabila ada orang kena dia diam, kena lagi dia
diam. Orang ingat amalan itu betul, kadang-kadang tidak betul. Tambah-tambah
lagi apabila kita mempunyai niat jahat.
"Kita tahu ada Artikel 88, apabila ada orang membuat
kenyataan tidak diambil tindakan. Ada orang yang nak kita hukum, kita hukum.
Semua orang tahu perkara ini. Banyak orang yang tidak mempunyai kebenaran
bercakap tidak kena hukum dan orang yang tidak suka terus dihukum,"
tegasnya.
Kata Annuar, perkara itu perlu diperbetulkan, begitu juga
apabila seseorang dihukum ia perlu ada syarat ketelusan dalam hukuman tersebut.
"Jika dihukum, kita dinafikan hak menggunakan khidmat
guaman, belum lagi dibicara sudah dikatakan salah, berlaku subjudis dan ini
mencacatkan undang-undang," ujarnya.
No comments:
Post a Comment