expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, 8 June 2012

Tiada jaminan secara automatik




















RAJAGOBAL (kiri) memberi taklimat kepada barisan pemainnya selepas sesi latihan mereka menjelang pertemuan menentang Singapura hari ini. 


JANGAN cepat berasa selesa. Demikian peringatan jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal kepada setiap pemain yang dipanggil menjalani latihan pemilihan bersama skuad kebangsaan selepas ini.


Menurut beliau, setiap pemain perlu memiliki sikap bersaing secara sihat bagi merebut slot dalam skuad Harimau Malaya sebagai persiapan awal mempertahankan Piala AFF, November depan.


Meskipun disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad negeri masing-masing, ia bukan bermakna pemain tersebut dapat menyarung jersi negara dengan mudah.


Sebagai contoh, katanya, persembahan cemerlang penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Farizal Marlias semasa skuad negara seri tanpa jaringan ketika berdepan Filipina tempoh hari juga amat dipuji sekali gus memberikan saingan sihat kepada penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat.


“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, saya mahu sekurang-kurangnya tiga pemain terbaik dapat mengisi setiap posisi pasukan negara.


“Saingan secara sihat ini dilihat dapat membantu membentuk pasukan yang kuat berdasarkan sasaran kita sebelum ini iaitu Piala Asia 2015,” kata Rajagobal baru-baru ini.


Malam ini, skuad negara bakal menguji skuad jiran, Singapura di Stadium Jalan Besar sebelum kembali berdepan lawan yang sama di Stadium Shah Alam empat hari kemudian dalam usaha memperbaiki ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menyaksikan skuad negara terus terperosok ke tangga ke-154 kelmarin.


Untuk rekod, skuad negara tewas menerusi agregat 4-6 kepada Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada Julai tahun lepas.


Dalam perlawanan malam ini, Rajagobal dijangka menurunkan kesebelasan pemain yang sama ketika seri tanpa jaringan dengan Filipina minggu lepas meskipun dua tonggak pertahanan, Mohamad Azmi Muslim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak dikhabarkan masih belum bebas sepenuhnya daripada kecederaan.


Pemain sayap sensasi negara, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Ashaari Shamsuddin begitupun terpaksa diketepikan malam ini gara-gara kecederaan lama yang kembali menghantui kedua-dua pemain tersebut.


Dalam pada itu, Rajagobal turut mempertahankan senarai pemain yang dipanggil kali ini meskipun dikritik segelintir peminat yang kecewa dengan keputusan beliau mengenepikan pemain-pemain muda berbakat dari skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara yang dikendalikan Ong Kim Swee.


“Perlu diingat, kedua-dua pasukan kebangsaan memiliki matlamat yang berbeza jadi saya tidak mahu mengganggu persiapan Kim Swee menjelang kelayakan Piala AFC B-22 di Myanmar hujung bulan ini.


“Keputusan saya menyenaraikan Wan Zack dan Mohd. Fadhli kali ini pun kerana mereka menjalani penggantungan perlawanan, jadi ada baiknya mereka berdua menimba pengalaman bersama skuad senior,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com