PERBINCANGAN kali ini ialah mengenai sebab-sebab kenapa
pasangan bercerai. Sebenarnya, ada banyak sebab berlaku perceraian. Ada
pasangan memberi alasan mudah bahawa mereka sudah tiada persefahaman, namun ramai
juga yang tercari-cari alasan.
Daripada data saya sendiri alasan atau sebab-sebab perceraian
adalah: (1) Tiada persefahaman (2) Ada orang ketiga/curang (3) Campur tangan
keluarga (4) Kewangan (5) hilang kasih sayang. Alasan yang saya berikan bukan mengikut
keutamaan. Saya akan sentuh alasan pertama dan kedua.
Pasangan yang ingin bercerai sering memberi alasan tiada
persefahaman dalam borang permohonan cerai mereka. Persoalannya apakah yang
menyebabkan dua insan yang saling menyintai ini tiba-tiba menjadi sebegini?
Adakah mereka bergaduh sejak berkahwin hingga menyebabkan mereka yakin bahawa
perkahwinan mereka tidak boleh diselamatkan lagi.
Sebenarnya apabila diselidiki, alasan ini adalah alasan
paling remeh boleh difikirkan namun jika perkara remeh dikumpul bertahun
lamanya, ia akan menjadi gunung dan meletup. Ketidaksefahaman ini mudah
disebutkan tetapi apabila diteliti ia bukan alasan yang kukuh. Antara contoh
ketidaksefahaman ialah soal di mana pasangan perlu berhari raya, pembelian
barang rumah atau kereta hingga kepada soal makanan dan hiasan.
Ada juga
pasangan bercerai kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan baik mengenai
hal kekeluargaan. Banyak isu tiada kesefahaman ini bermula sebelum pasangan
berkahwin.
Sebenarnya semasa bercinta, ketidaksefahaman tersebut telah
ada, namun pasangan cuba untuk tidak menanganinya atau berharap ia akan hilang
apabila berkahwin.
Misalnya A semasa berkenalan dengan B tahu, B sangat rapat
dengan ibunya dan berharap hubungan ibu anak itu akan berkurangan apabila
mereka berkahwin dan mempunya anak. A sentiasa mendahului keluarganya dalam
semua hal, malah semasa bercinta lagi ia sudah berlaku.
Semakin hari hubungan A dengan keluarganya semakin rapat,
sehinggakan A akan balik kampung segera kerana hal keluarga. B mulai bosan
dengan perangai A dan akhirnya B memohon cerai kerana merasakan dia tidak
dihargai.
A tidak pernah merasakan dia mengabaikan B namun tiada siapa
dapat menyedarkan dia bahawa dia juga perlu memberi keutamaan kepada isterinya
dalam keadaan tertentu dan tidak mendahulukan keluarganya sepanjang masa.
Dalam kes A dan B ini, pasangan sentiasa berhari raya pertama
di rumah A kerana A anak lelaki sulung. B bersabar selama lima tahun namun
kesabarannya juga mulai luntur.
Ada pasangan yang tidak dapat mencapai kesefahaman dalam
hal-hal seperti makanan dan pakaian. Dalam perkahwinan mesti ada yang mengalah
dan berkorban. Pada kebiasaannya isteri sentiasa mengalah atau memberi lalui
kepada kehendak suami. Setahun dua isteri bersedia mengalah atau berkorban
tetapi lama-kelamaan dia menjadi korban. Dia mengorbankan perasaannya sehingga
dia hilang identiti dirinya kerana semua perkara mengikut kehendak suami.
Tentunya hasrat isteri mahu menjadi isteri solehah namun ia
tidak datang daripada hatinya tetapi kerana keterpaksaan atas asas cinta.
Apabila cinta tidak dipupuk dengan kuat dalam perkahwinan, isteri merasa
dirinya terpedaya dan terkorban. Dia akhirnya hilang kesabaran dan menuntut
haknya.
Sementara itu, alasan wujud orang ketiga atau pasangan curang
adalah alasan paling banyak diberikan oleh pasangan yang bercerai. Pada
kebiasaannya suamilah yang sering menjalin hubungan dengan wanita lain yang
menyebabkan isteri merasa amat kecewa kerana suami curang. Dalam kebanyakan
kes, isteri yang datang mengadu untuk memohon cerai, ada yang percaya suami
telah berkahwin baru atau menyimpan perempuan.
Poligami adalah isu sensitif bagi seorang isteri maka tidak
hairanlah ramai isteri yang memohon cerai sebaik sahaja mengetahui suaminya
berkahwin baru. Bagi seorang wanita, ia isu kesetiaan dan kasih sayang. Maka
jika suami yang berani menduakan isterinya dia akan terpaksa menghadapi masalah
isterinya memohon cerai.
Namun pada abad ke-21 ini, tidak kurang juga isteri yang
curang kerana telah bosan dengan suami. Memang dunia dah berubah. Jika dahulu
pelanggan saya semuanya wanita, hari ini sudah ada kaum lelaki. Ini bermakna
masih ada lelaki yang setia di dunia yang moden ini!
Berbalik kepada isu orang ketiga ini, kes yang stereotaip
ialah suami selepas beberapa tahun berkahwin (dalam rekod saya suami mula
mencari lain selepas 5 tahun kahwin). Ada disebabkan kelahiran anak, di mana
isteri memberi terlalu banyak tumpuan kepada anak sehingga suami terasa
terabai. Keadaan bertambah buruk apabila ada insan lain yang memberi perhatian
kepada suami, terutama di pejabat.
Di sini akan bermula episod baru buat suami dan kadang-kadang
isteri sangat tidak menyangka suami sanggup meninggalkannya atau menceraikannya
untuk berkahwin baru.
Ramai suami yang mempunyai tabiat buruk di mana setiap kali
isteri mengandung, dia menjalin hubungan dengan wanita lain. Ini berlaku kerana
dia terasa tidak dilayan atau isteri terlalu uzur, kerana mengandung yang
menyebabkan dia tidak dapat melayan suami, zahir dan batin.
Dalam kes seperti ini, suami akan menceraikan isterinya untuk
berkahwin dengan yang baru.
Tidak kurang juga isteri memohon untuk diceraikan kerana
tidak mahu dimadukan atau rasa ditipu.
Kategori kedua, suami pada usia lewat 40-an mahu merasa
sesuatu yang baru (excitement). Ia dimulakan dengan aktiviti bersembang
dengan kawan-kawan di kedai kopi atau main boling atau golf atau apa saja di
luar rumah. Secara suka-suka suami mula melayan wanita muda untuk memastikan
dia masih relevan atau 'laku' setanding lelaki muda. Wanita muda pula suka pada
lelaki berumur yang stabil dari segi ekonomi.
Ini boleh dikategorikan dalam kumpulan sindrom 40-an yang
mana suami mula merasa ingin menjadi orang bujang dan melalui zaman remajanya
semula.
Bagi kes isteri yang curang pula, pada kebiasaannya isteri
menjalin hubungan dengan lelaki lain ditempat kerja. Ia sering berlaku di
kalangan wanita muda yang sentiasa mahu dilayan dan dibelai kekasih atau suami.
Ia juga berlaku apabila isteri merasa 'kecewa' dengan alam
rumah tangga kerana suaminya tidak seperti yang diharapkannya atau suami
terlalu sibuk dengan kerja. Akhirnya isteri melayan lelaki lain kerana
dahagakan kasih sayang dan belaian.
Hari ini, isteri tidak hanya mencari pasangan untuk berlaku
curang di tempat kerja tetapi melalui laman sosial seperti facebook dan
twitter. Semusim dahulu, isteri-isteri seperti ini mencari pasangan di laman
sembang atas talian. Mulanya hanya suka-suka, kemudian mereka berani berjumpa,
sekadar menonton wayang dan akhirnya mengadakan hubungan seks.
Isteri curang lebih sukar diperangkap kerana mereka pandai
main kayu tiga dan kebanyakan suami yang terlalu sibuk sehinggakan tidak dapat
menghidu perangai isteri kecuali diberitahu oleh orang lain.
wah baguslah kak SP.. iha pun baru2 ni terfikir jugak nak buat entri macam ni.. ada jugak yg cakap kadang2 anak punca utama suami isteri bergaduh.. insyaAllah nanti giliran iha pulak cuba huraikan.. (kalau rajin) :D
ReplyDeleteboleh2..nanti SP baca entri iha pulak..:-)
Delete