expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday, 7 June 2012

Adab memberi nasihat





SEBAGAI orang yang beriman kepada Allah SWT, kita perlu mengetahui hak-hak saudara kita yang perlu dipenuhi. Hak-hak tersebut telah diakui oleh agama dan sebarang usaha serta tindakan yang dibuat bagi memenuhi hak-hak tersebut diiktiraf sebagai ibadah di sisi Allah SWT. 


Antara hak yang perlu dipenuhi oleh orang yang beriman terhadap saudaranya sebagai manifestasi keimanan ialah memberi nasihat apabila diminta. 


Ia telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: Hak Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam". (Baginda SAW) ditanya: "Apakah hak-hak tersebut wahai Rasulullah?" Jawab Baginda SAW, "Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya, jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya, jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat, jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia, jika dia sakit, maka kunjungilah dia dan jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah)nya." (riwayat Muslim)


Oleh itu, marilah kita membudayakan amalan memberikan nasihat dan berpesan-pesan ke arah keharmonian hidup beragama. 


Namun begitu, sekiranya terdapat di kalangan saudara kita yang memerlukan bimbingan nasihat, maka janganlah terus memberikan nasihat melainkan perlu memahami dan mendalami dahulu permasalahan sebenar yang dihadapinya. 


Kefahaman ini penting kerana ia akan membantu kita dalam memberikan tumpuan kepada masalah tersebut sahaja, dan bukannya keluar daripada tajuk sebenar yang akan merumitkan lagi keadaan.


Inilah sikap yang diambil oleh para ulama dalam melakukan ijtihad. Mereka akan cuba memahami permasalahan sebenar dengan merujuk kepada orang yang lebih pakar dalam bidang tersebut dan mementingkan keperluan memahami realiti semasa (qiraatul al-zuruf). 


Setelah mempunyai kefahaman yang jelas, maka barulah ijtihad akan dibuat dengan berdasarkan disiplin ilmu yang betul. Justeru, para ulama telah menggagas kaedah yang berbunyi Al-Hukmu 'ala al-Syay' Far' 'an Tasawwurihi (Memberi Hukum kepada Sesuatu Perkara adalah Cabang daripada kefahaman (tasawwur) yang jelas terhadap perkara tersebut).


Orang yang memberikan nasihat juga perlu mengelakkan diri daripada menumpukan kepada masalah yang berlaku. Sekiranya ia dilakukan, banyak masa yang dihabiskan untuk mengungkit-ungkit kesalahan yang telah pun berlaku. 


Perlu kita fahami bahawa yang lebih penting dalam memberikan nasihat ialah memberikan cadangan penyelesaian, bukannya memperbesarkan lagi masalah yang berlaku. 


Orang yang memberikan nasihat juga perlu bertenang sehingga dirinya dapat berfikir untuk menilai dan memberikan panduan penyelesaian dengan lebih rasional, bukannya berdasarkan perasaan semata-mata.


Elakkan daripada menghina, mencaci dan mengherdik orang yang datang meminta nasihat. Ketahuilah bahawa kedatangannya untuk meminta nasihat adalah langkah pertama yang dibuat untuk bertaubat di atas segala kesalahan yang dilakukan. 


Jangan menutup pintu taubat tersebut dengan kita menjatuhkan air mukanya sehingga dia berputus asa untuk berhenti daripada melakukan dosa dan kesalahan. Jadikan sesi memberikan nasihat tersebut sebagai sesi pertukaran buah fikiran yang positif sehingga apabila selesai sesi tersebut, orang yang meminta nasihat akan berpuas hati dan gembira. 


Ini sekali gus dapat mencetuskan semangat untuk memulihkan dirinya menuju keinsafan dan yang paling penting ialah menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang penuh bijaksana. 


Sekiranya kita memarahi orang yang meminta nasihat, maka bukan sahaja dia semakin jauh dengan kita, bahkan ia akan dapat melunturkan semangatnya untuk terus berjuang. 


Mudah-mudahan dengan nasihat yang baik untuk menajamkan keazaman, walaupun seberat mana ujian yang menimpa, tetap digagahi jua bagi meneruskan kehidupan yang lebih berkualiti pada masa akan datang.


Umat Islam dididik oleh agama Islam untuk hidup bermasyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan hidup bermasyarakat ialah dengan bergaul dengan mereka mengikut batasan yang dikehendaki agama, saling bantu-membantu dan menyuruh kepada yang makruf serta mencegah daripada kemungkaran, di samping saling memberikan nasihat. 


Inilah asam-garam kehidupan seorang mukmin sejati yang tidak hidup untuk dirinya semata-mata, bahkan hidup untuk berbakti kepada orang lain kerana Allah SWT.


Nabi SAW bersabda: "Orang beriman yang bergaul dengan masyarakat dan sabar menanggung gangguannya, lebih baik daripada orang yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak pula sabar menghadapi gangguannya." (riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com