expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 8 June 2012

Barat didesak iktiraf hak Teheran





TEHERAN - Iran, hari ini memberi mesej jelas kepada kuasa Barat supaya mengiktiraf hak Teheran untuk meningkatkan aktiviti pengayaan uranium, sekiranya rundingan seterusnya di Moscow hendak diadakan dengan lebih serius.


Dua pegawai utama yang menjawat jawatan penasihat kepada pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengeluarkan kenyataan tersebut kepada media, sehari selepas beberapa pegawai lain mendakwa pihak Barat tidak menunjukkan minat untuk berunding.


Agensi berita Fars yang memetik kenyataan penasihat tertinggi polisi luar Iran, Ali Akbar Velayati berkata, kuasa-kuasa dunia yang bakal terlibat dalam rundingan di Moscow pada 18 dan 19 Jun perlu menggunakan pendekatan yang lebih realistik berhubung hak-hak Teheran.


Agensi berita Mehr yang memetik kenyataan Bekas Presiden yang kini merupakan Pengerusi Majlis Kepentingan, Akbar Hashemi Rafsanjani pula berkata, kuasa Barat perlu menyedari kunci kejayaan rundingan itu adalah dengan menerima hak Iran untuk memiliki kuasa nuklear.


Tambahnya, tindakan Barat mengugut, mengenakan sekatan dan tekanan juga perlu ditarik balik supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat bersama.


Kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pegawai terbabit merujuk kepada aktiviti pengayaan uranium Iran, seperti yang didakwa oleh Teheran bahawa negara itu dibenarkan untuk membina loji tenaga nuklear dan menghasilkan isotop perubatan di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear.


Negara Barat mengesyaki Iran menjalankan aktiviti pengayaan uranium untuk membina senjata atom, namun Teheran berulang kali menafikan tuduhan tersebut.


AS, Britain, Perancis, Jerman, Rusia dan China telah membentuk kumpulan P5+1 bertujuan mengadakan rundingan dengan Iran berhubung isu nuklear republik Islam itu.


Semalam, Presiden Mahmoud Ahmadinejad menuduh kumpulan P5+1 hanya akan mengadakan rundingan yang sia-sia di Moscow, manakala perunding nuklear Iran, Saeed Jalili meragui keikhlasan kuasa-kuasa dunia itu untuk menjayakan rundingan terbabit. - AFP

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com