GAMBAR fail pada 22 Mei 2006
menunjukkan Pramanik bergambar dengan pingat emas yang dimenanginya pada acara
larian 400 meter pada Sukan Grand Prix Asia di Bangalore, India.
KOLKATA - Seorang atlet wanita India yang memenangi pingat
emas pada Sukan Asia 2006, Pinki Pramanik muncul di mahkamah di sini semalam
bagi menghadapi dakwaan dia merogol bekas kekasihnya yang juga seorang wanita.
Bekas kekasihnya itu turut mendakwa bahawa Pramanik 26, yang
kelihatan seperti wanita sebenarnya ialah seorang lelaki.
Pramanik turut ditahan reman selama 14 hari sehingga
perbicaraan berhubung dakwaan merogol itu berlangsung.
"Mahkamah majistret meminta pihak berkuasa untuk
membentuk satu lembaga perubatan bagi menentukan jantina Pramanik," kata
Ketua Balai Polis di Kolkata, Prabir Roy.
Pramanik yang bersara pada tahun 2007 enggan untuk menjalani
pemeriksaan di sebuah hospital semasa dia di soal-siasat selepas ditangkap
kelmarin.
"Saya telah menjalani banyak ujian perubatan sepanjang
kerjaya sebagai seorang atlet.
"Kenapa saya perlu bersetuju untuk menjalani lebih
banyak ujian perubatan yang mengarut ini?," soal Pramanik yang disiarkan
akhbar Times of India semalam.
Dia pernah memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter berganti-ganti
pada Sukan Asia di Doha, Qatar pada tahun 2006.
Bekas kekasih Pramanik mendakwa dia dirogol beberapa kali.
Namun, Pramanik memberitahu kisah yang berbeza.
"Wanita itu (mangsa) meminta wang sebanyak 300,000
rupees (RM17,271) tetapi saya enggan memberikan wang tersebut kepadanya."
kata Pramanik kepada pemberita dari sebuah van polis sebelum dia dihadapkan ke
mahkamah.
Polis menyatakan bahawa Pramanik tinggal bersama kekasihnya
di sini selama beberapa bulan.
Akhbar Calcutta Telegraph melaporkan bekas kekasihnya
menyatakan Pramanik pernah berjanji untuk berkahwin dengannya.
Pramanik berasal daripada keluarga petani yang miskin di
negeri Bengal Barat, sekitar 220 kilometer dari sini dan bekerja sebagai
seorang inspektor tiket sebelum berkecimpung dalam bidang sukan.
Sementara itu, ibu Pramanik, Puspa memberitahu stesen
televisyen Bengali TV bahawa anaknya itu tidak bersalah.
"Saya tidak percaya dia melakukan jenayah seperti itu.
Saya berharap dia akan mendapat keputusan yang adil," katanya.
Setiausaha Persekutuan Atlet India, C.K. Valson memberitahu
agensi berita AP bahawa pihaknya tidak mengetahui sama ada Pramanik akan
diminta untuk memulangkan semula pingatnya ekoran kes tersebut.
"Dia bersara tiga tahun lalu dan tiba-tiba kita
mendengar semua ini (kes itu)," katanya.
Menurutnya, pihaknya akan menunggu laporan perubatan sebelum
membuat sebarang kesimpulan berhubung kes tersebut.
Pramanik pernah memenangi pingat emas dalam acara larian 400
meter pada Sukan Grand Prix Asia di Bangalore, India pada 22 Mei 2006.
Pingat perak yang dimenangi atlet dari India, Santhi
Soundarajan pada Sukan Asia 2006 terpaksa ditarik balik selepas dia gagal dalam
ujian jantina yang dilakukan sejurus selepas acara larian tersebut berlangsung.
- Agensi
No comments:
Post a Comment