expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 16 June 2012

Bulan ALLAH janjikan pahala berganda


















Setiap amalan yang dilakukan pasti mempunyai ganjaran di sisi ALLAH. - Gambar hiasan


REJAB itu kemuliaan, kebesaran dan keagungan. Dalam lipatan sejarah silam bangsa Arab, betapa mereka memuliakan bulan itu dengan beberapa cara seperti melaksanakan upacara penyembelihan korban, membuka pintu Kaabah siang dan malam dan mengharamkan peperangan.


Namun, upacara penyembelihan korban dihentikan dengan sabda Nabi Muhammad SAW : “Tidak ada penyembelihan haiwan pada tanggal satu dan 10 Rejab dalam Islam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Penulis bebas, Ustazah Nurwairani Azyyati Mohd Azmin berpandangan, sewajarnya kita perlu menyedari bahawa kedatangan bulan Ramadan kian hampir. Bulan Rejab boleh dijadikan medan melatih minda, hati dan jiwa untuk bertemu Ramadan yang mulia.


“Sangat digalakkan untuk kita berpuasa, bersedekah, mengamalkan solat solat sunat dan amal ibadah yang lain di bulan Rejab sebagai persediaan untuk memasuki bulan Ramadan nanti agar kemanisan ibadah dan keberkatan dalam Ramadan dapat dihayati dengan sebaik baiknya. Rejab bulan yang mulia kerana tersenarai dalam empat bulan-bulan haram dimuliakan ALLAH SWT,” katanya kepada Rehal.


Menurutnya, fadilat Rejab berada bersama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain. Seperti bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan yang tunggal ialah Rejab. Di masa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada ALLAH.


Amalan berpuasa
 

DR WABHAH Zuhaily mengatakan, kebanyakan imam empat mazhab (Syafi ’ie, Hanbali, Maliki dan Hanafi ) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat di dalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara pengamalannya.


Menurut beliau, keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat di sisi Mazhab Maliki dan Syafii, Mazhab Hambali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa di bulan haram, pada mereka itulah puasa yang afdal selepas Ramadan.


Sheikh Abdul Rahman Al-Jaziry dalam Kitab Fiqh Empat Mazhab juga memetik persetujuan empat mazhab ini mengenai puasa di bulan-bulan haram.


Menurutnya, Imam empat Mazhab bersetuju disunatkan berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban. Nabi bersabda: “Seafdal solat ialah pertengahan malam, dan seafdal puasa selepas bulan Ramadhan ialah di bulan ALLAH al-Haram.”


Manakala kenyataan Dr Yusuf Al- Qaradhawi pula ketika diminta memberi fatwa mengenai berpuasa di dalam bulan Rejab itu sunat atau bidaah, beliau menerangkan bahawa, “Berpuasa di dalam bulan adalah maqbul dan mustahab ke atas semua perkara. Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah, Baginda berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan Ramadan. Nabi banyak berpuasa dalam bulan Syaaban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah sunnah nabawiyyah.


Baginda berpuasa dan berbuka pada setiap bulan, seperti riwayat mengatakan : “Nabi berpuasa sehingga kami mengatakannya tidak berbuka dan berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).


Beliau tegas mengatakan bahawa disunatkan berpuasa pada bulan-bulanharam tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Syaaban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah atau sahabat sahabatnya dan juga ulama Salaf.


Jelaslah di sini menunjukkan bulan-bulan haram tersebut disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan ALLAH dalam bulan-bulan ini.


Peristiwa Penting Dalam Rejab
 

NURWAIRANI berkata terdapat peristiwa penting dalam Islam pada bulan Rejab. Antaranya hijrah pertama ke negeri Habsyah, peristiwa israk dan mikraj di mana Rasulullah telah diangkat ke langit bertemu ALLAH.


“Namun perlu diketahui bahawa sekalipun banyak pandangan menjurus kepada berlakunya peristiwa israk dan mikraj dalam bulan Rejab, ada lagi beberapa pandangan lain yang berlainan.


Sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rabiul Akhir, sebahagian ulama mengatakan pada 17 Rabiul Awal, sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadan, sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.


“Tahun itu terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada sebahagian mengatakan pada tahun kelima dari Bi’tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya pula berpendapat pada tahun ke-12 dari Bi’tsah, sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi berhijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ke-3 sebelum hijrah Nabi ke Madinah dan ada lagi pendapat-pendapat lain,” ulasnya.


Beliau menambah lagi, perang Tabuk juga berlaku dalam bulan Rejab, pembebasan Baitul Muqaddis daripada tentera salib yang menaklukinya selama 60 tahun. Pembebasan itu dilakukan oleh panglima Islam, Salehuddin al-Ayubi pada hari Jumaat 27 Rejab 583 hijrah. Imam Syafie turut dilahirkan dalam bulan ALLAH.


Semoga inti pati di atas dapat diperhalusi supaya amal ibadah menjadi indah di sisi ALLAH dan memperoleh keredaan dan keampunan-Nya. Moga tiada lagi amal ibadat kita yang tebal dilaksanakan tetapi nipis sekali ilmu panduan dalamnya. Marilah kita beribadah dengan kefahaman yang tepat dan selari dengan kehendak Pencipta dan ajaran Rasul yang tercinta.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com