expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 16 June 2012

Israk Mikraj anugerah ILAHI


















Tempat bersejarah di Baitul Muqaddis dikaitkan dengan peristiwa Israk Mikraj.


Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menempuh pelbagai mehnah dan tribulasi dengan sabar dan tabah demi menyampaikan wahyu dan misi dakwahnya kepada ummah. Sehinggakan Rasulullah SAW akhirnya dijemput ALLAH SWT untuk menemui-Nya bagi menerima satu penganugerahan tertinggi buat kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.


Jemputan tersebut dikenali Israk dan Mikraj, iaitu satu peristiwa besar dalam Sirah Rasulullah SAW. Ketika itu, Baginda dan Sahabat sering dizalimi golongan musyrikin Quraisy yang diketuai Abu Jahal. Tambahan pula, Baginda kehilangan dua insan kesayangan, isterinya, Khadijah al-Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib yang membela dalam urusan dakwah.


Tahun tersebut digelar dengan Aamul Huznu (Tahun Dukacita). Ketika itu, penderitaan dan penyeksaan semakin bertambah apabila kaum Baginda SAW sendiri yang menghina dan menzalimi mereka. Baginda SAW bersama sahabat sejatinya, Abu Bakar As-Siddiq RA berhijrah ke Taif dengan harapan memperoleh sokongan rakyat di sana.


Sebaliknya, mereka berdua dihalau dengan balingan batu-bata daripada pemuda Taif. Kesedihan yang menimpa Rasulullah SAW inilah menjadi sebab musabab ALLAH SAW menjemput Baginda terus menemui-Nya di Sidratul Muntaha untuk dihiburkan dengan menerima satu penganugerahan yang terbesar.


Dengan itu, setiap 27 Rejab sering dikaitkan dengan sambutan Israk dan Mikraj. Malah sambutan hari kebesaran dalam Islam ini menjadi suatu fenomena seluruh dunia dengan meraikannya melalui pelbagai acara. Namun ketika menjayakan majlis sambutan kebesaran dalam Islam ini, didapati segelintir pesertanya sanggup tidak solat demi perarakan yang bersesak-sesak lelaki dan perempuan dengan tema sepanduk yang tertentu.


Meskipun sambutan tersebut baik dilakukan, tetapi yang menjadi pokoknya mestilah dilandaskan dengan Syariat ILAHI agar segala jerih perit perjuangan Nabi Muhammad SAW dan Sahabatnya bermanfaat untuk diteladani dan diikutinya. Kajian saintifik solat Jika disoroti Sirah Nabawiyyah, Baginda SAW dibersihkan dahulu naluri hatinya dengan peristiwa pembedahan yang keempat iaitupembedahan terakhir Malaikat Jibril dan Mikail.


Kisah pembedahan dada dengan mengeluarkan ketul hitam ('Alaqah) dan membersihkannya dengan air zam zam sebanyak tiga kali bertujuan pembersihan jiwa sebelum menghadap ALLAH SWT. Melalui konsep tazkiyatul nafs ini sebenarnya menggambarkan kepada umat manusia betapa penting menyucikan jiwa dan nafsu sebelum melaksanakan sesuatu ibadat kepada Rabbul Alamin.


Perkara paling utama dalam Israk dan Mikraj yang memaparkan pelbagai 'klip video' ditayangkan ALLAH SWT kepada kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW, adalah perintah kewajipan melaksanakan solat fardu buat umat manusia.


Kewajipan asalnya adalah sebanyak 50 waktu solat sehari semalam, yang kemudiannya dimohon rasul lain agar Baginda berjumpa ke hadrat Ilahi semula untuk dikurangkan kerana memandangkan umat akhir zaman yang kerdil lagi lemah.


Sifat sayangkan umatnya, Rasulullah SAW naik turun berjumpa ALLAH SWT sebanyak sembilan kali untuk merayu agar dikurangkan bilangan solat yang wajib. Akhirnya solat dimuktamadkan hanyalah lima kali sehari semalam sahaja.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Difardukan solat pada malam Israk sebanyak 50 waktu dan dikurangkan menjadi 5 waktu sehari semalam." (Riwayat Anas bin Malik) Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang difardukan terhadap Mukmin yang tertentu waktunya.” (Surah An-Nisa’: 103)


Sebenarnya ibadat solat adalah anugerah terbesar dihadiahkan ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW serta umatnya untuk dilaksanakan sepanjang hayat di dunia ini. Solat jugalah adalah satu-satunya amalan yang pertama dihitung terlebih dahulu ketika di padang Mahsyar pada hari akhirat kelak Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


"Sesungguhnya perkara pertama yang dihitung terhadap seseorang hamba pada hari Kiamat daripada amalannya adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka sungguh beruntung dan berjayalah dia dan jika solatnya rosak, maka kecewa dan rugilah dia". Jika amalan solat tersebut mendapat pahala yang sempurna, maka amalan lain barulah dihitung kemudiannya." (Riwayat at-Tirmizi RA).


Ibadat solat dibuktikan secara kajian saintifik Universiti Malaya yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok. Hasil kajian mereka mendapati bahawa setiap pergerakan dalam solat sebenarnya memberi faedah yang pelbagai terhadap tubuh badan dan jiwa seseorang manusia.


Antara terapi solat yang terhebat adalah otot badan dapat diregang dan diperkuatkan, fikiran bertambah tenang, memperkuatkan kuasa dan daya fokus otak, membentuk komposisi tubuh yang menawan, cas negatif dikeluarkan daripada badan, pengubat sakit pinggang, denyutan jantung lebih baik dan yang hebatnya solat dapat merawat individu yang mengalami masalah Erektil  Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk iaitu masalah kesihatan yang kaum lelaki amat bimbang.


Mukjizat ALLAH SWT
 

Jagalah solat fardu anda pada setiap hari. Tepatilah waktunya, jagalah rukun, syarat dan sunatnya. Perbaikilah setiap bacaan dan doa dalam solat. Janganlah lupa berkomunikasi dengan talian 24,434 (bilangan rakaat solat) dengan disulami sebanyak 17 kali Al-Fatihah sebagai aduan tali hayat kepada majikan terbesar (ALLAH SWT).


Solat daripada aspek lahiriah dan batiniah mempunyai pelbagai rahsia dan manfaat terhadap diri manusia. Sesungguhnya solat adalah Mikraj (hubungan) antara manusia dan ALLAH SWT yang mampu mencegah diri daripada kejahatan di dunia ini (Surah Al-Ankabut, ayat 45).


Dr Yusuf al-Qaradhawi (dalam buku al-Ibadah fi al-Islam) berkata, bahawa solat sangat berbeza dengan ibadat lain kerana ia diturunkan dari langit yang berbeza secara terus daripada ALLAH SWT. Hanya solat jualah anugerah tertinggi yang mampu menemukan setiap makhluk dengan Khaliqnya (Yang Maha Pencipta) pada hari akhir nanti.


Secara tuntasnya, peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada Rejab ini hendaklah dihayati untuk menguji dan membuktikan kepercayaan umat dengan mukjizat ALLAH SWT terhadap Rasulullah SAW. Apatah lagi zaman moden kini, terdapat segelintir manusia yang longgar akidahnya mempertikaikan kejadian yang luar biasa yang berlaku terhadap nabi alaihimussalam.


Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Maha Suci ALLAH yang menjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Surah al-Israa’ :1).

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com