expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, 8 June 2012

Dengung dalam telinga





TINNITUS adalah satu keadaan di mana seseorang mengalami atau berperasaan ada bunyi aneh di dalam telinga sama ada berdering, berdengung, berdenyut atau apa-apa bunyi lain, seperti bunyi desiran angin yang ada kala susah ditafsirkan.


Ia boleh berlaku disebabkan penyakit dalam telinga luar, telinga tengah, telinga dalam atau kerana keabnormalan dalam otak. Kebanyakan kes bukan masalah serius tetapi mendatangkan ketidakselesaan kepada sesiapa yang mengalaminya. 


Bagaimanapun, ia boleh membayangkan keadaan kesihatan serius di dalam kes tertentu yang jarang berlaku. Ada kala ia mungkin simptom penyakit tertentu. 


Beberapa fakta tinnitus:

 
  •   Bunyi yang paling biasa didengari termasuk bunyi cengkerik, mengaum, dengung, desiran, bersiul dan deringan nada tinggi. 
 
  •   Jenis tinnitus lain termasuk pulsatile tinnitus iaitu berdetik atau bernadi (bunyi menyusul selepas degupan jantung seseorang). 
 
  •   Jenis tinnitus paling biasa dikenali sebagai tinnitus subjektif, bermaksud anda terdengar sesuatu bunyi tetapi ia tidak boleh didengar orang lain. 
 
  •   Jenis lebih jarang berlaku dipanggil tinnitus objektif, bermakna doktor adakalanya boleh terdengar bunyi tinnitus itu apabila mendengar dengan teliti.


Penyebab tinnitus:


Tinnitus bukan penyakit tetapi tanda atau gejala yang membayangkan sesuatu berlaku dalam sistem pendengaran atau otak.


Punca paling biasa terjadinya tinnitus ialah kehilangan pendengaran akibat peningkatan umur atau penuaan, selain trauma telinga (melalui bunyi bising, ubat- ubatan atau bahan kimia), atau bahagian telinga yang membolehkan kita mendengar, termasuk koklea, menjadi rosak. 




 
Teori ini disebabkan koklea tidak lagi menghantar isyarat biasa kepada otak, menyebabkan ia menjadi keliru dan akhirnya mengeluarkan bunyi sendiri bagi menampung kekurangan isyarat bunyi biasa yang kemudian diterjemahkan sebagai tinnitus. 


Tinnitus akibat kekurangan pendengaran boleh menjadikan pendengaran kita lebih teruk lagi, seperti jangkitan telinga atau tahi telinga berlebihan di dalam telinga. 


Tinnitus juga boleh disebabkan kehadiran cecair dan jangkitan di telinga luar atau telinga tengah, penyakit tulang (ossicles) di telinga tengah (middle ear) dan ia boleh terjadi selepas berenang atau air masuk ke dengan telinga bagi seseorang yang mempunyai tahi telinga tersumbat. 


Ia juga disebabkan trauma telinga (ubat-ubatan atau bahan kimia) biasanya membabitkan kedua-dua telinga, kerana telinga biasanya terdedah kepada penyebab sama. 


Pendedahan kepada bunyi bising yang sangat kuat atau berterusan juga adalah punca terjadinya tinnitus hari ini, seterusnya menyebabkan kerosakan pendengaran. 






 
Malangnya, ramai tidak mempedulikan kesan bahaya bunyi bising yang berlebihan dan kuat, misalnya senjata api, muzik intensiti tinggi atau sumber bising lain, selain faktor ubat-ubatan seperti aspirin, antibiotik aminoglycoside dan kuinina. 






Penyakit telinga dalam seperti sindrom Meniere boleh menyebabkan gejala tinnitus, kurang pendengaran dan pening (vertigo).  





 
Dalam keadaan yang jarang berlaku, tinnitus boleh menjadi tanda masalah serius kerana aneurisma (aneurysm) otak atau ketumbuhan otak. 


Satu ketumbuhan otak yang biasa ialah acoustic neuroma, di mana ketumbuhan berlaku pada saraf yang membekalkan pendengaran dan menyebabkan tinnitus. 


Jenis tinnitus ini biasanya hanya disedari pada sebelah telinga, tidak seperti jenis lebih biasa yang disebabkan kehilangan pendengaran yang biasanya dilihat di kedua-dua telinga. Tinnitus juga boleh menjadi jenis objektif atau subjektif. 


Jenis paling biasa dikenali sebagai tinnitus subjektif, bermaksud seseorang itu terdengar bunyi tetapi ia tidak boleh didengar orang lain. Biasanya membabitkan sebelah atau kedua-dua telinga. 


Jika ia membabitkan sebelah telinga dan berlaku gejala kurang pendengaran secara tiba-tiba, seseorang itu perlu mendapatkan rawatan segera untuk memastikan ia bukan ketumbuhan. 


Jenis lebih jarang berlaku dipanggil objektif tinnitus, bermaksud doktor mungkin boleh mendengar bunyi tinnitus berkenaan apabila mendengar dengan teliti. 


Punca tinnitus biasanya lebih mudah dicari. Tinnitus yang berdetik (pulsatile tinnitus) biasanya berkaitan aliran darah, sama ada melalui saluran darah normal atau abnormal berdekatan telinga. 


Puncanya termasuk mengandung, anemia (kekurangan sel darah merah), tiroid terlalu aktif atau tumor membabitkan saluran darah berhampiran telinga seperti Glomus Tumor. 


Tinnitus berdebar-debar juga boleh disebabkan keadaan dikenali sebagai benign intracranial hypertension iaitu peningkatan dalam tekanan cecair yang mengelilingi otak. 


Wujud sejenis tinnitus objektif disebabkan sendi rahang temporomandibular (TMJ) di mana doktor boleh mendengar klik di sendi itu apabila membuka dan menutup mulut.


Bila perlu mendapatkan rawatan:
 

Tinnitus perlu dinilai oleh doktor kerana ia tanda sesuatu penyakit lain. Walaupun majoriti kes ini tidak disebabkan masalah akut, simptom tertentu perlu dinilai bagi menentukan sama ada satu keadaan perubatan lebih serius menyebabkan gejala itu. 


Jika tinnitus datang secara tiba-tiba, terutama pada sebelah telinga atau dikaitkan dengan kehilangan pendengaran, segera dapatkan rawatan. 


Kehilangan pendengaran secara tiba-tiba sering diiringi tinnitus, dan ada ubat boleh membantu memulihkan pendengaran itu jika dirawat secepat mungkin. 


Sesetengah jenis tumor juga boleh menyebabkan kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan tinnitus itu memerlukan penilaian. 


Tinnitus yang berdenyut (seirama dengan degupan jantung) dan datang secara tiba-tiba perlu diperiksa segera. Dalam keadaan tertentu, tinnitus ini disebabkan salur darah mengembang kerana aneurisma (dinding saluran darah membonjol) dekat dengan telinga atau dari salur darah lain.


Pemeriksaan dan ujian:
 

Penilaian awal sejarah lengkap dan pemeriksaan fizikal kepala serta leher termasuk penilaian saraf kranial. Ujian pendengaran lengkap (audiogram dan tympanometry) boleh dilakukan bergantung kepada jenis tinnitus, sama ada audiogram khas yang dikenali sebagai auditori tindak balas batang otak (ABR) atau imbasan otak seperti imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau pengimejan resonans magnetic (MRI) juga mungkin dikehendaki. 


Dalam sesetengah kes, tekanan darah anda dan mungkin juga ujian darah untuk hipertiroidisme boleh diambil.


Rawatan diri di rumah:
 

Kebanyakan kes tinnitus perlu dinilai oleh doktor telinga, hidung dan tekak sebelum rawatan di rumah bermula untuk memastikan ia tidak disebabkan masalah lain yang boleh dirawat. 


Rawatan perubatan bergantung kepada punca asas masalah berkenaan. Dalam kebanyakan kes, tinnitus disebabkan kerosakan organ pendengaran. 


Dalam kes ini, biasanya tidak memerlukan rawatan selain jaminan tinnitus tidak disebabkan penyakit lain yang boleh dirawat. Dalam keadaan yang jarang berlaku, tinnitus sangat mengganggu, namun ada beberapa pilihan rawatan. 


Bantuan pendengaran dan peralatan penghadang (masker) dapat membantu menghalang bunyi. Bagi individu yang diganggu tinnitus ketika ingin tidur, bunyi kipas, radio biasanya diperlukan untuk melegakan masalah. 


Kebanyakan individu menghadapi masalah ini mendapati tanda itu lebih teruk apabila mereka tertekan, jadi teknik bersantai (relaxation) boleh membantu. 





Elakkan kafein kerana ia boleh memburukkan lagi gejala. Elakkan juga aspirin atau produk berkaitan dalam kuantiti besar. 


Penggunaan peralatan baru seperti tinnitool menggunakan pancaran laser dalam telinga. Penggunaan ubatan antianxiety atau anti depressent boleh membantu dengan nasihat doktor.


Dalam kes disebabkan satu daripada masalah lain yang jarang berlaku (seperti tumor atau aneurism), rawatan punca akan menyembuh atau mengurangkan tinnitus. Walaupun tidak semestinya menyelesaikan tinnitus pada sesetengah kes, sekurang-kurangnya ia dapat melegakan gejala itu.


Rawatan susulan:


Ikut arahan doktor untuk mendapatkan penilaian dan ujian lanjut. Anda mungkin perlu temu janji dengan pakar telinga, hidung, dan tekak (otolaryngologist) atau audiologist untuk ujian seterusnya.


Ini penting bagi memastikan tinnitus anda bukan disebabkan penyakit lain. Pencegahan sebenarnya hanya untuk tinnitus disebabkan kerosakan pendengaran. Kebanyakan kehilangan pendengaran tidak mempunyai strategi pencegahan.


Menurut Persatuan Tinnitus Amerika Syarikat, beberapa perkara boleh anda lakukan untuk mengelak tinnitus. Antaranya, melindungi pendengaran mengikut peraturan di tempat kerja yang ditetapkan Keselamatan dan Pentadbiran Kesihatan (OSHA) seperti alat penutup telinga dan mengikut garis panduan pemeliharaan ditetapkan majikan.


Apabila berada di kawasan bising yang mengganggu telinga (konsert, acara sukan, memburu, pengering rambut, mesin potong rumput), alat pelindung pendengaran akan mengurangkan tahap bunyi bising.



Kesimpulan:


Bergantung kepada jenis tinnitus, gejala akan cenderung datang dan pergi dari semasa ke semasa. Tahap tekanan, diet, dan pendedahan kepada bunyi bising boleh memburukkan tinnitus.



Gangguan yang biasa kita hadapi
 

ANDA disarankan agar memakai alat penutup telinga sekiranya anda berada dekat sebarang sumber bunyi melebihi 85dB, yang termasuklah: 


  •   keriuhan lalu lintas
  •   pengering berangin
  •   keretapi bawah tanah
  •   jeritan kanak-kanak
  •   peralatan bermesin
  •   mesin potong rumput
  •   motosikal
  •   penggerudi tukul
  •   pesawat jet
  •   tembakan senapang
  •   letupan mercun





No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com