SAFIQ (kanan) menjaringkan gol kedua
ketika Malaysia menewaskan Singapura 2-0 di Stadium Shah Alam kelmarin.
KAPTEN Harimau Malaya, Safiq Rahim menggesa rakan-rakan
sepasukannya agar tidak cepat berpuas hati dan mendabik dada selepas melakar
kemenangan 2-0 ke atas Singapura pada aksi perlawanan persahabatan di Stadium
Shah Alam kelmarin.
Safiq, 25, mahu kejayaan itu menjadi motivasi untuk berusaha
mengekalkan prestasi cemerlang skuad negara agar lebih konsisten.
Mengulas lebih lanjut kemenangan tersebut, pemain Selangor
itu menegaskan, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal harus bekerja lebih keras
dalam usaha mempertahankan status juara Piala Suzuki AFF pada tahun ini.
"Saya akui kami gembira selepas menewaskan Singapura
malam ini (kelmarin) tetapi kami tidak boleh terlalu cepat berpuas hati.
"Jadi, kami perlu melakukan lebih banyak kerja (dari
segi latihan dan persiapan) yang mana skuad negara harus konsisten untuk
mengekalkan persembahan mantap.
"Saya percaya kami harus bekerja lebih keras dalam usaha
untuk mempertahankan status juara Piala Suzuki AFF," katanya ketika
ditemui pemberita selepas tamat perlawanan kelmarin.
Pada aksi menentang skuad kendalian Radojko Avramovich itu,
Ahmad Shakir Md Ali membuka jaringan seawal minit ke-18 sebelum Safiq
menjaringkan gol kedua pada minit ke-62.
Kemenangan tersebut turut menamatkan rekod tanpa kalah
Singapura selama lapan tahun selain menebus kekecewaan pada aksi pertama yang
berkesudahan seri 2-2 di Stadium Jalan Besar, Jumaat lalu.
Sementara itu, Shakir selaku penjaring gol pertama skuad
negara berkata, dia berazam untuk mengekalkan persembahan cemerlang pada
perlawanan akan datang.
Penyerang utama Negeri Sembilan itu menambah, dia sudah
bersedia untuk bersaing bagi beraksi bersama skuad utama Harimau Malaya.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan
sepasukan dan jurulatih kerana berjuang sehingga tamat perlawanan.
"Kami bermain mengikut arahan jurulatih dan saya tekad
untuk memberikan aksi terbaik kerana diberi peluang bermain.
"Setiap pemain berazam untuk beraksi bersama skuad utama
dan perkara itu tidak terkecuali buat saya.
"Justeru, saya akan bekerja dengan lebih keras bagi
memastikan persembahan dan penyudah saya akan bertambah lebih baik di masa akan
datang," katanya.
Selepas ini, skuad negara bakal menentang dua kelab gergasi
England, Arsenal dan Manchester City masing-masing pada 27 dan 30 Julai depan
sebagai persiapan terakhir sebelum misi mempertahankan Piala Suzuki AFF selaku
tuan rumah bersama Thailand, November nanti.
No comments:
Post a Comment