PELURU berbentuk bola yang terdapat
pada celah rangka itu.
BRUSSELS - Hampir 200 tahun selepas tentera Prussia dan
England menewaskan askar-askar Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte di
Waterloo, sepasukan ahli arkeologi Belgium akhirnya menemui satu rangka seorang
askar muda pada 8 Jun lalu.
"Anda hampir dapat membayangkan keadaan askar itu yang
sedang nazak," kata seorang pakar arkeologi Belgium, Dominique Bosquet
mengenai rangka manusia tersebut.
Peluru berbentuk bola berada di celah tulang rusuk askar itu.
"Rangka manusia ini masih sempurna," kata Bosquet
kepada stesen televisyen RTL kelmarin.
Dipercayai mati pada 18 Jun 1815, rangka manusia tersebut
ditemui tertanam 40 sentimeter di bawah tanah.
Pakaian seragam askar itu telah reput tetapi ahli arkeologi
akan melakukan kajian ke atas sebatang sudu, kepingan duit syiling, serpihan
kayu bertulisan C.B dan tali pengikat kulit yang ditemui bersama rangka
tersebut. Ia dikaji bagi mengenal pasti identiti askar itu.
Rangka itu ditemui oleh pasukan arkeologi di sebuah kawasan
yang dikuasai askar England ketika perang Waterloo berlaku.
Kawasan berkenaan diratakan pada bulan lalu bagi memberi
laluan kepada satu projek pembangunan.
Peperangan itu yang melibatkan 125,000 askar Napoleon dan
210,000 anggota tentera Prussia dan England telah meragut lebih 12,000 nyawa. -
AFP
No comments:
Post a Comment