Forkey Doe
KUALA
TERENGGANU - Kehilangan penyerang berbisa Francis Forkey Doe menjadi tanda
tanya kepada jurulatih Terengganu, Peter Butler ketika melakukan percaturan
pemain bagi menghadapi pasukan T-Team pada perlawanan Liga Super di Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam esok.
Pemain berusia 26 tahun dari Liberia itu, yang menjadi idola peminat skuad
Penyu itu, masih belum pulang ke pangkuan pasukan selepas menggalas misi antarabangsa
bersama pasukan negaranya.
Kegagalan Forkey Doe pulang ke Terengganu tanpa sebarang berita telah
menimbulkan kebimbangan dan kekecewaan kepada Butler yang terpaksa berdepan
dengan masalah tiga lagi pemain tonggak yang masih belum pulih daripada
kecederaan.
"Beliau sepatutnya kembali pada 4 Jun lalu tetapi belum lagi...beliau juga
tidak menghubungi saya atau pihak pengurusan untuk menjelaskan perkara
sebenar," kata Butler kepada pemberita di sini hari ini.
"Saya amat kecewa dengan kelakuannya...kita mahukan pemain yang komited
dan dia tidak menunjukkan apa-apa komitmen kepada saya atau pasukan,"
jelasnya.
Selain Forkey Doe yang 'hilang' tanpa berita, ketua pasukan Marzuki Yusof,
Ashaari Shamsudin dan pemain import Erison Da Silva dari Brazil masih belum
pulih daripada kecederaan.
Bagaimanapun, Butler menegaskan bahawa pasukannya mempunyai pemain yang mampu
merobek gawang lawan bagi mengumpul mata penuh pada aksi menentang pasukan yang
berstatus kelab itu.
Jelasnya kedudukan itu tidak mencacatkan barisan penyerang apabila Abdul Manaf
Mamat telah kembali untuk meneruskan pertarungan walaupun masih belum pulih 100
peratus daripada kecederaan selepas menjalani pembedahan di bahagian buku lali,
awal bulan lepas.
Sementara itu jurulatih T-Team Yunus Alif berkata pihaknya kehilangan
kapten Zairo Anuar Zailani yang mengalami kecederaan pangkal paha serta
penyerang Brazil, Marco Tulio, yang mengalami ketegangan otot betis.
"Kehilangan kedua-dua pemain itu adalah satu tamparan besar kepada
kami tetapi kami mempunyai Faiz Subri dan Fadzli Shaari yang boleh meningkatkan serta mengerakkan jentera pasukan.
Terengganu kini menghuni tangga keenam dengan mengumpul 27 mata dalam saingan
Liga Super manakala T-Team di tangga keempat dengan kutipan mata yang sama
namun berbeza dari segi jaringan. - Bernama
|
No comments:
Post a Comment