SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca di dada akhbar dan
media massa tentang keruntuhan rumah tangga masyarakat Islam. Keruntuhan rumah
tangga ini bukan sahaja berlaku di kalangan golongan bawahan malah golongan berada
juga tidak dapat lari daripada permasalahan itu.
Ia juga tidak terhad di kalangan orang yang tidak mempunyai
didikan agama malah orang yang mendapat pendidikan agama juga seringkali
terjerat dalam polemik keruntuhan rumah tangga ini.
Walaupun umat Islam berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan
seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain,
tetapi sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang
yang hampir dengan kita.
Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan
kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak saudara,
jiran tetangga dan mereka yang berada di sekeliling kita.
Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa potong hadis
Rasulullah yang menerangkan peri pentingnya memperlakukan isteri dengan
sebaik-baiknya.
Umpamanya, Rasullullah diriwayatkan bersabda kepada kaum
lelaki yang bermaksud, "Ingatlah, terimalah wasiatku, pergaulilah wanita
(isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan
kamu.
Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali perkara itu
melainkan jika mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila
mereka melakukan perkara tersebut, maka janganlah tidur bersama mereka dan
pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada
kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah,
sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka mempunyai
hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri-isteri kalian adalah tidak
mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula
mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri-isteri
kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan
baik."
Sabda Rasulullah di atas, jelas memberi panduan kepada kita
tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri harus dilakukan. Ia juga
menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik
isteri yang terletak di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan
isteri melakukan perkara yang menyimpang dan keji pun telah diberikan garis
panduan bagaimana menanganinya.
Oleh yang demikian, melayani isteri dengan cara yang terbaik
amatlah dituntut dalam Islam. Wanita dijadikan oleh Allah dari tulang rusuk
kiri lelaki yang mempunyai signifikan yang amat besar. Tulang rusuk itu sebenar
terlalu hampir dengan hati.
Oleh itu, wanita hendaklah sentiasa berada di hati lelaki
(suami). Wanita tidak dijadikan dari kepala untuk dijunjung atau dipuja oleh
lelaki, mereka juga tidak dijadikan dari kaki untuk dipijak atau dihina oleh
lelaki. Inilah kedudukan istimewa wanita yang telah dinobatkan oleh Islam.
Tulang rusuk yang bengkok itu pula perlu diluruskan dengan penuh hati-hati dan
hikmah agar ia tidak patah semasa diluruskan.
Dalam hadis lain, Rasullullah juga dilaporkan sebagai berkata
yang bermaksud, "Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang
akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap
isterinya." Dalam hadis yang lain pula, Rasullullah bersabda maksudnya,
"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang
solehah."
Jelaslah daripada dua hadis di atas, ketinggian kedudukan
isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari oleh golongan suami. Ini
adalah kerana sebahagian suami yang mengambil mudah peranan isteri dan
menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira
perasaan dan kehendak isteri itu sendiri.
Memanglah kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada para
suami namun kuasa tersebut hendaklah ditadbirkan dengan adil dengan mengambil
kira kemampuan, kesusahan dan juga kehendak isteri.
Jika kuasa ini tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu
ia akan mengundang polemik antara suami isteri tersebut dan suami yang tidak
menjalankan kuasa dengan sempurna, sudah tentu akan dipertanggungjawabkan atas
kegagalannya itu. Kuasa tersebut sebenarnya bukanlah suatu keistimewaan tetapi
lebih kepada tanggungjawab yang hendaklah digalas dengan sempurna.
No comments:
Post a Comment