KEHIDUPAN berumahtangga atau bersuami isteri pasti akan
bertambah seri dan sinar andai setiap pasangan tersebut tidak begitu lokek dan
kedekut kudrat dalam melestarikan perasaan cinta dan kasih sayang antara satu
sama lain.
Hal sedemikian jika direnungkan sejenak tidak begitu sukar
perlaksanaannya akan tetapi disebabkan barangkali usia pembinaan rumah tangga
yang agak lama mungkin menjadi penghalangnya.
Ini kerana dikatakan sudah tiada lagi kemanisannya seperti
seawal rumah tangga didirikan.
Sudah tentu ini satu persepsi yang salah lagi teramat silap,
ini kerana sesebuah rumah tangga yang dibina bukanlah bersifat dalam adegan
lakonan drama atau teater yang mempunyai tempoh masa, bahkan ia adalah satu
proses pembinaan ummah sepanjang masa.
Sepatutnya semakin mengenal hati budi seseorang, maka semakin
bertambah keakraban ditambah pula pernah mengharungi suka duka, jerit perih
dalam kehidupan secara bersama.
Sebagai seorang suami yang sentiasa ingin melakukan
penambahbaikan terhadap usaha pengislahan dalam rumah tangga, seseorang itu
tidak mempunyai pilihan ikon yang paling tepat dan terus relevan untuk
diikutinya melainkan Baginda Nabi Muhammad SAW.
Dewasa ini, kita dikejutkan dengan saban hari peningkatan
kadar perceraian yang dipelopori oleh pasangan-pasangan muda malah tidak
ketinggalan juga pasangan-pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin,
apakah itu satu berita atau riwayat yang hanya membuatkan kita tersenyum sinis
sambil berkata, "Ya, kalau sudah tidak ada jodoh , apa lagi yang mampu
dibuat, perpisahan adalah jalannya."
Kita sebenarnya begitu mudah untuk tidak berfikir bagaimana
untuk terus menyelamatkan sebuah ikatan suci atas nama pernikahan malah dengan
mudah jika sekiranya terdapat pelbagai konflik dan masalah, maka dengan cepat
memilih untuk membawa haluan masing-masing.
Oleh itu, dalam mengemudi rumah tangga selain daripada
kematangan berfikir ia juga harus dimampatkan dengan ilmu pengetahuan agar
setiap tindakan itu bersesuaian dengan norma-norma masyarakat serta mengikut
aturan ilmu yang diajarkan oleh Islam.
Benar kata-kata yang kita biasa dipasakkan dalam minda
bahawa, 'hidup tidak selalunya indah'. Tetapi pernahkah kita semua berfikir
juga bahawa jika kena dan tahu caranya keindahan itu boleh muncul dalam
kehidupan, maka ia bergantung kepada individu, sama ada untuk mencarinya atau
bagi yang sudah memiliki dengan sengaja menghilangkannya.
Menyoroti amalan Baginda Rasulullah SAW dalam melaksanakan
tanggungjawab Baginda SAW sebagai suami, maka akan terfikir di minda kita semua
bahawa ia tidaklah begitu sulit dan sukar untuk dijelmakan sebagai amalan dalam
kehidupan kita semua bagai umatnya.
Mengambil contoh Baginda SAW, walaupun kecil pada sesetengah
pandangan daripada kita seperti Rasulullah SAW tidur dalam satu selimut dengan
isterinya, ini dapat kita hayati hadis yang menyatakan bahawa daripada Atha'
bin Yasar: "Sesungguhnya Rasulullah SAW dan Aisyah r.a biasa mandi bersama
dalam satu bekas. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah,
tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, "Mengapa engkau
bangkit?" Jawab Aisyah, "Kerana saya haid, wahai Rasulullah."
Sabda Rasulullah, "Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah
kembali padaku." Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau."
(riwayat Sa'id bin Manshur) .
Selain itu juga , baginda Rasulullah SAW sentiasa mengambil
berat soal penampilan diri agar sentiasa kemas di mata isteri, ini pernah
diperkata oleh Saidatina Aisyah:
"Sesungguhnya Nabi SAW apabila meminyaki badannya,
baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk
pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah SAW
(riwayat Ibnu Majah).
No comments:
Post a Comment