BAGI umat Islam, khususnya tarikh 5 hingga 10 Jun 1967
menandakan tahap yang paling rendah dalam sejarah kerana Masjid al-Aqsa, Baitul
Maqdis kembali terjajah setelah ia dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi
kira-kira 1,000 tahun yang silam.
Sembilan belas tahun selepas peristiwa Nakbah, rakyat
Palestin melalui satu lagi peristiwa pahit yang dikenali sebagai an-Naksah atau
'hari kekalahan'.
Peristiwa an-Naksah merujuk kepada Perang Enam Hari pada
tarikh di atas di antara negara-negara Arab dan Israel. Dalam tempoh sesingkat
enam hari itu, tiga negara Arab iaitu Mesir, Syria dan Jordan kehilangan
wilayah dan mengalami kemusnahan yang besar dari sudut ketenteraan.
Bahkan, dalam tempoh tersebutlah Masjid al-Aqsa ditawan oleh
tentera Israel dan terus terjajah sehingga hari ini.
Pada 8 Jun Mesir kehilangan seluruh Semenanjung Sinai yang
merupakan satu kekalahan yang besar dan memberi kelebihan strategik kepada
Israel untuk terus menguasai Selat Tiran yang mengawal laluan ke Laut Merah.
Jalur Gaza yang dikuasai oleh Mesir sejak tahun 1948 juga
jatuh ke tangan musuh. Tentera Israel juga memasuki Kota lama Baitul Maqdis dan
menduduki Masjid al-Aqsa pada 7 Jun, seterusnya mara ke Sungai Jordan dan
menguasai seluruh Tebing Barat yang ditadbir oleh Jordan.
Apabila Mesir dan Jordan bersetuju dengan gencatan senjata
yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Jun, seluruh
Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat sudah diduduki oleh tentera Israel.
Syria juga memilih untuk patuh dengan gencatan senjata pada 9
Jun, namun Israel terus menceroboh wilayah Syria dan menduduki Tanah Tinggi
Golan sehingga kini.
Menjelang 10 Jun, Israel menguasai wilayah yang keluasannya
ialah dua kali ganda dari negara haram Israel yang didirikan ke atas wilayah
Palestin pada tahun 1948. Wilayah tersebut meliputi; Baitul Maqdis timur,
Tebing Barat, Jalur Gaza, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan.
Bagi umat Islam, 7 Jun adalah tarikh yang amat memilukan
kerana pada tarikh tersebutlah Masjid al-Aqsa kembali terjajah. Tentera Israel
memasuki Masjid al-Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan
biadap.
Mereka bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan
Khaibar! Khaibar! Mereka menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan
ke atas mereka oleh umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW ditebus
dengan jatuhnya Masjid al-Aqsa ditangan Yahudi.
Mereka menghina Rasulullah SAW dengan melaungkan 'Agama
Muhammad sudah mati dan hanya meninggalkan wanita-wanita; merujuk kepada
negara-negara Arab yang mengalami kekalahan teruk dalam perang enam hari
tersebut.
Mereka turut memusnahkan laluan (pintu) Maghriba dan
merobohkan semua rumah-rumah rakyat Palestin yang mengadap Tembok Buraq (Western
Wall) dan menukarnya menjadi satu perkarangan lapang bagi upacara keagamaan
Yahudi.
Tembok Buraq mereka kuasai dan menamakannya sebagai Kottel
atau Wailing Wall, satu tindakan yang jelas merampas hak umat Islam yang
diperakui oleh Liga Bangsa-Bangsa sebagai warisan Islam.
Israel seterusnya mengisytiharkan penggabungan Baitul Maqdis
barat (bahagian Baitul Maqdis yang ditawan pada tahun 1948) dan Baitul Maqdis
timur (yang mereka tawan dalam Perang Enam Hari) dan menamakan Baitul Maqdis
(Jerusalem) sebagai ibu negara abadi Israel yang tidak boleh dirunding buat
selama-lamanya pada 26 Jun 1967.
PBB bertindak meluluskan Resolusi 242 pada bulan 2 November
1967 yang memutuskan Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan
mengembalikan 'sebahagian dari wilayah yang ditawannya'.
Namun Israel telah menggunakan wilayah yang didudukinya
sebagai bahan tawar-menawar (bargaining chip) untuk menciptakan
perdamaian palsu melalui apa yang disebut sebagai pertukaran wilayah (land
swap).
Hakikatnya Israel tidak pernah berniat untuk melepaskan
mana-mana wilayah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur yang ditawannya. Ini
adalah berdasarkan tindakan Israel yang terus menerus membina
penempatan-penempatan haram di seluruh Tebing Barat, bahkan di sekeliling kota
lama yang menempatkan Masjid al-Aqsa.
Apabila perjanjian damai Oslo ditandatangani pada tahun 1993,
Israel meningkatkan lagi aktiviti pembinaan penempatan haram tersebut. Keadaan
ini berterusan setelah persetujuan dicapai dalam Annapolis Konferens pada tahun
2007 sehingga kini.
Israel terus berdolak-dalik dan berselindung di sebalik
pelbagai istilah perdamaian bermula dari Madrid (1991) sehinggalah Deklarasi
Prinsip-prinsip Clinton (DOP - Declaration of Principles - 2001) dan Pelan
Damai atau 'Road Map' (2003).
Mereka turut membina tembok pemisah (Separation or
'Aparthied' Wall) sepanjang 800 kilometer dari utara ke selatan jauh ke
dalam Tebing Barat untuk mengepung rakyat Palestin, membataskan pergerakan
mereka dan menafikan pelbagai kemudahan asas termasuklah sumber air bersih
untuk minuman dan mengairi ladang, perkhidmatan dan hak rawatan di hospital,
bahkan untuk mendapatkan pendidikan untuk anak-anak Palestin.
Apabila HAMAS memenangi pilihan raya legislatif yang pertama
dan membentuk kerajaan pilihan rakyat yang sah, Israel mengenakan sekatan dan
akhirnya kepungan menyeluruh ke atas Gaza bermula pada tahun 2007 sehingga
kini.
No comments:
Post a Comment