expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, 13 June 2012

Meraih predikat tertinggi takwa





Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Bertakwalah kamu kepada ALLAH SWT di mana sahaja kamu berada, dan susulilah keburukan-keburukan yang kamu lakukan dengan kebaikan, kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan yang kamu lakukan; dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat Imam Tirmidzi, no 1987)


Di dalam hadis ini terdapat beberapa faedah penting yang perlu kita kongsi dan manfaatkan. Salah satu yang utama adalah berkaitan dengan talwa. Sabda Rasulullah SAW, “bertakwalah kamu kepada ALLAH SWT di mana sahaja kamu berada.”


Ali ibn Abi Thalib r.a dalam menjelaskan pengertian takwa, maksudnya: melahirkan rasa takut kepada sehingga menjadikan kita orang yang beramal dengan apa diturunkan, seterusnya reda dengan apa yang ALLAH anugerahkan kepada kita walaupun perkara tersebut sedikit dan yang terakhir serta bersiap sedia dengan hari kemudian.


 Pada hari ini di luar sana, ramai yang memperkatakan dan menyeru kepada takwa, tetapi mereka tidak memahami konsep takwa yang diketengahkan oleh Nabi SAW dan yang dibawa para sahabat r.a.


Takwa bukan sekadar takut. Takwa bukan sekadar meninggalkan perkara-perkara yang mungkar, bahkan takwa juga ialah kita berusaha melakukan segala sesuatu yang diperintahkan oleh ALLAH SWT sebagai bukti kita takut kepada perintah-Nya.


Jika kita lihat bagaimana ketinggian takwa Nabi SAW dan para sahabat r.a sehingga mereka sanggup berhijrah meninggalkan kampung halaman dan berperang, berjuang mempertahankan Islam, menjadikan diri sebagai korban dalam peperangan, sehingga mereka diseksa, dicerca, dimaki-hamun. Walau bagaimanapun perkara tersebut tidak membuatkan mereka meninggalkan dan membelakangkan agama.


Sebagaimana penjelasan Nabi SAW terhadap peristiwa Ashabul Ukhdud yang dibahaskan oleh ALLAH SWT dalam surah Al-Buruj, sabda Nabi SAW walaupun mereka menerima pelbagai seksaan yang mana pada masa ini kita merasakan mustahil ada manusia yang dapat menahan seksaan seumpama itu, iaitu dibelah kepala mereka dengan menggunakan gergaji diperbuat daripada besi, disikat tubuh dengan sikat besi sehingga bercerai daging daripada tubuh. Kata Nabi SAW, perkara tersebut tidak membuatkan mereka meninggalkan agama yang mereka anuti.


Inilah hakikat takwa yang Nabi SAW terapkan dalam jiwa para sahabat r.a.


Di mana bukti takut kita kepada ALLAH SWT apabila kemungkaran kita datangi, perkara-perkara yang ALLAH SWT perintah kita jauhi, petunjuk Nabi SAW kita belakangkan, sunnah-sunnah Baginda SAW kita ketepikan.

 
Lebih membimbangkan adalah apabila sunnah-sunnah Nabi SAW diketengahkan, kita ketepikan ia kerana masih mementingkan nafsu dan penghormatan ke atas sesuatu, selain daripada Muhammad SAW.


Jadi jika kita lihat kepada pengertian takwa yang disebutkan oleh Ali bin Abi Thalib r.a adalah perasaan takut kepada ALLAH SWT disusuli beramal dengan apa yang ALLAH SWT turunkan. Apa yang ALLAH SWT turunkan terdiri daripada al-Quran dan As-Sunnah. Islam itu sendiri berdalilkan firman ALLAH, maksudnya:


“Dan dia (Muhammad) tidak mengatakan sesuatu mengikut hawa nafsunya, melainkan apa yang beliau sampaikan adalah wahyu yang ALLAH SWT wahyukan kepada Baginda.” (Surah An-Najm, ayat 3-4)


Jika demikian, Rasulullah SAW tidak diberi mandat oleh ALLAH SWT untuk berkata sesuatu mengenai agama melainkan segala sesuatu yang Baginda sampaikan semuanya adalah arahan.


 Baginda hanyalah rasul (penyampai) yang menyampaikan sebagaimana yang ALLAH SWT inginkan.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com