expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday 13 June 2012

Mengekang budaya berhutang





Budaya berhutang dengan kad kredit mahupun melalui pembiayaan peribadi semakin menjadi-jadi dan memudaratkan masyarakat ketika ini. Lebih mencemaskan rata-rata diisytiharkan muflis kad kredit merupakan golongan muda yang merupakan aset penting negara masa depan.


Sikap sesetengah institusi perbankan tempatan yang cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk-produk berupa pembiayaan peribadi juga turut menyumbang kepada gaya hidup berhutang. Sering kali juga fokus pemasaran produk-produk pembiayaan ini tertumpu kepada golongan penjawat awam yang mempunyai gaji tetap. Namun pembiayaan sebegini hanya menjurus kepada budaya berhutang bagi tujuan hidup bermewah-mewah melebih apa diperlukan.


Ramai menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena sebegini hingga mencetuskan pelbagai cadangan termasuklah memperketat pengeluaran kad kredit dan syarat-syarat membolehkan individu mendapatkan pembiayaan peribadi daripada bank-bank tempatan. Namun bagi penulis, isu ini perlu ditangani secara bersepadu yang tidak hanya bersifat penguatkuasaan mahupun sekatan.


Apa yang juga mustahak ialah mengambil pendekatan mendidik generasi muda dan masyarakat amnya agar lebih berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan hidup berasaskan prinsip dan nilai-nilai muamalah Islam sejati.


Sememangnya aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan merupakan antara sifat utama seorang mukmin. Bahkan dalam permulaan surah Al-Baqarah, kita akan dapati bahawa kedudukannya disejajarkan ALLAH dengan ibadah solat sebagai tiang agama sebagaimana firman-Nya: “...mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” (Al-Baqarah: 3).


Ayat ini jelas mengisyaratkan bahawa setiap rezeki dan harta yang dimiliki merupakan kurniaan ALLAH yang wajib dibelanjakan berasaskan prinsip dan nilai syariat. Dalam konteks ini, syariat Islam sememangnya jelas memperincikan ikatan-ikatan dan batasan-batasan dalam perbelanjaan.


Setiap sen daripada harta yang diperoleh mahupun dibelanjakan akan dipertanggungjawabkan ALLAH pada setiap insan. Sebagaimana seorang Muslim tidak bebas untuk memperoleh harta daripada sumber haram, maka dia juga tidak bebas untuk membelanjakan hartanya dalam perkara haram.


Islam turut menentang keras, bahkan mengisytiharkan perang menentang kecenderungan bermewah-mewah. Al-Quran jelas menyebut, kemewahan merupakan ciri-ciri utama penghuni neraka yang bakal mendapat kemurkaan dan seksa pedih daripada ALLAH.


Firman ALLAH: Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar. (Al-Waqiah: 41-46)


Jika diselidiki secara rasional dan objektif, kita akan dapati bahawa kecenderungan untuk hidup mewah dan bergayalah yang sering kali menjerumus seseorang untuk berbelanja melebihi kemampuan. Keghairahan untuk memenuhi tuntutan gaya hidup bermewah-mewah jugalah sering menjerumus seseorang untuk berhutang melalui kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi lain.


Kedangkalan ilmu, kebobrokan nilai dan kegelojohan berbelanja akhirnya mengakibatkan umat terbelenggu dalam malapetaka hutang yang mampu menghakis jati diri, memporak-perandakan maruah dan menjahanamkan masa depan negara. Bahkan umat yang dibebani hutang lantaran kerakusan berbelanja adalah umat yang bakal terjerumus ke dalam kancah kegawatan, kebejatan dan kecelakaan.


Justeru, pendidikan mengurus kewangan dan perbelanjaan berhemah merupakan suatu keperluan mendesak untuk diperluas dan diperhebat dalam masyarakat ketika ini. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran bahawa kad kredit hanya sekadar wahana untuk pembayaran dan bukannya berlagak mewah atau berlebih-lebihan.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com